Saudara kita sambut Tahun Baru di asrama IDIP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pertubuhan Komuniti Cina Muslim Malaysia membantu golongan mualaf (saudara kita) yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Dato’ Nor Shahabudin Monil berkata, penyampaian keperluan asas dan makanan ringan diberi kepada pelajar mualaf di seluruh negara.

- Advertisement -

Katanya, usaha itu bagi membantu mereka yang terjejas ketika PKP di samping bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

“Sumbangan juga bagi menceriakan lagi sambutan Tahun Baru Cina memandangkan mereka berjauhan daripada keluarga di kampung halaman masing-masing.

“Saya dapat lihat sejak PKP pergerakan mereka menjadi terhad. Jadi kita bekerjasama memberi barang keperluan kepada mereka,” katanya di sini.

Beliau turut bersyukur pelajar Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) yang baharu menganut Islam dapat belajar dengan baik.

Sementara itu seorang pelajar IDIP Mohd Dylan Yap Abdullah, 24 berkata, beliau agak sedih kerana tidak dapat menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga di kampung baru-baru ini.

Sebaliknya beliau bersama 10 lagi pelajar keturunan Cina tetap reda dan menyambut perayaan itu secara sederhana di asrama IDIP di Pengkalan Chepa.

“Tahun ini agak memilukan tidak dapat meraikan perayaan tersebut bersama kehadiran keluarga di sisi.

“Saya hanya berhubung dan bertanya khabar kepada keluarganya menerusi panggilan video kerana tidak dapat pulang gara-gara PKP yang dilaksanakan sekarang.

“Saya rindu hendak balik kampung kerana sudah dua tahun tidak merayakan Tahun Baru Cina bersama keluarga,” katanya yang berasal dari Sepang Selangor. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -