Sugarbook: Tindakan tegas cegah keruntuhan sosial

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) menzahirkan kebimbangan terhadap isu Sugarbook yang tular semula baru-baru ini setelah kali pertama pada 2019.

Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya berkata, BPPWP berpandangan modus operandi mereka begitu licik dengan iklan-iklan yang menarik sugar daddy dan sugar baby yang memiliki keperluan sosial dan ekonomi yang mendesak untuk menjadi pengguna platform mereka.

Tambahan pula, katanya undang-undang sedia ada yang masih memiliki kelompongan membuka lebih ruang kepada golongan pengusaha platform yang tidak sihat sebegini untuk terus beroperasi dengan alasan, perkara tidak bermoral itu tidak semestinya tidak sah di sisi undang-undang.

- Advertisement -

“BPPWP berpendirian bahawa platform seumpama ini akan menimbulkan lebih banyak masalah, terutamanya keruntuhan rumahtangga dan institusi masyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, atas dasar itulah, Islam bersifat mencegah dari awal punca perbuatan dosa itu sendiri seperti firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Dalam pada itu, ujarnya BPPWP menyambut baik maklum balas segera daripada Kementerian Pengajian Tinggi melalui kenyataan medianya bertarikh 14 Februari lalu yang akan bekerjasama dengan kementerian dan institusi berkaitan untuk memperhalusi masalah itu dan menyediakan solusi yang menyeluruh.

Menurut beliau, BPPWP sendiri bersama 14 kawasan PAS di bawahnya telah membuat laporan polis berkenaan Sugarbook dan berharap agar pihak polis segera menjalankan siasatan.

“BPPWP menegaskan juga bahawa pihak kerajaan, walaupun fokusnya kini tertumpu pada usaha mengatasi pandemik Covid-19 dan membantu ekonomi rakyat secara lahiriah, perlu juga mengambil perhatian serius akan kebejatan sosial sebegini kerana ia akan menjejaskan kesejahteraan batiniah yang juga merupakan elemen penting dalam pembentukan modal insan,” katanya lagi.

Tambahnya, BPPWP turut mendesak pihak berautoriti agar mengharamkan platform Sugarbook dan juga platform-platform lain seumpamanya termasuk mempertingkatkan pemantauan dalam penggunaan alam maya agar apa jua jalan ke arah keruntuhan sosial dapat dibendung seawal mungkin.

“PAS khususnya BPPWP tidak akan berdiam diri dan bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kesejahteraan sosial masyarakat kita terus terpelihara daripada sebarang cubaan untuk meruntuhkannya,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 15/2/2021

- Advertisement -