Pelajar ditutup mata disuruh berjalan

- Advertisement -

STATISTIK Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2020 menunjukkan rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun dan lebih meningkat daripada 3.4 juta (2018) kepada 3.5 juta (2020).

Daripada segi peratusan penduduk, ia meningkat daripada 10.3 peratus kepada 10.7 peratus.

Rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat daripada 2.2 juta (2018) kepada 2.3 juta (2020) atau 6.7 peratus (2018) kepada 7.0 peratus (2020).

Peningkatan kumpulan mereka berumur 60 tahun dan lebih atau kumpulan warga emas bermakna negara dan masyarakat perlu mewujudkan suasana dan infrastruktur bersesuaian dengan keperluan mereka.

- Advertisement -

Justeru itu dari sudut perancangan bandar dan reka bentuk bangunan pula, ia perlu responsif kepada keperluan-keperluan tersebut.

Terdapat undang-undang yang khusus mengambil kira keperluan OKU walau bagaimanapun kumpulan warga emas juga memiliki keperluan-keperluan mereka.

Kita tidak boleh sama sekali samakan mereka dengan anggota masyarakat yang lain.

Contohnya apabila kita hendak menyediakan padang permainan atau taman rekreasi, perkara pertama yang difikirkan oleh arkitek ialah peralatan permainan untuk kanak-kanak seperti jongkang-jongkit, gelongsor atau buaian.

Kedua baru difikirkan peralatan senaman tetapi kebanyakan peralatan senaman untuk semua peringkat umur. Kadang-kala peralatan ini hanya sesuai untuk orang muda atau mereka yang cergas sahaja.

Tidak banyak disediakan peralatan-peralatan untuk warga emas atau untuk mereka yang pergerakannya terhad kecuali di taman-taman utama.

Guna wheelchair keliling bandar

Ketika saya belajar Senibina di UK dahulu, pelajar-pelajar menggunakan kerusi roda (wheelchair) untuk mengelilingi bandar sebagai sebahagian dari kursus mereka.

Ada pula yang ditutup mata dan telah menggunakan tongkat putih orang buta untuk berjalan.

Matlamat latihan ini adalah agar pelajar-pelajar yang bakal menjadi arkitek dan Perancang Bandar itu memahami masalah yang dihadapi oleh OKU.

Justeru itu apabila mereka bekerja kelak mereka akan mengambil kira keperluan-keperluan OKU. Hari ini arkitek dan Perancang Bandar kita bukan sahaja perlu memahami keperluan OKU tetapi juga warga emas.

Kadang-kala perkara yang kecil seperti menyediakan tempat duduk juga gagal dilakukan.

Terdapat kompleks-kompleks membeli-belah yang tidak menyediakan tempat duduk yang mencukupi.

Seorang warga emas yang bertongkat ditambah pula dengan masalah lutut atau pinggang sudah tentu perlu duduk dan berehat kerana tidak mampu berjalan jauh.

Justeru perlu ditentukan bilangan tempat duduk dan jarak maksima di antaranya bagi memenuhi keperluan warga emas seperti itu.

Kita ada tandas dan tempat letak kereta khas untuk OKU. Malah terdapat kompleks membeli belah yang menyediakan tempat letak kereta untuk wanita dan wanita mengandung.

Tetapi jarang kita melihat tandas atau tempat letak kereta khusus untuk warga emas walaupun pergerakan mereka juga terhad seperti OKU dan memerlukan ruang yang luas untuk bergerak.

Warga emas secergas Pak Maon

Bukan semua warga emas secergas Pak Maon yang dilakonkan oleh Allahyarham Mahmud Jun dalam filem tahun 1966 arahan P. Ramlee, “Nasib Do Re Mi”. Walaupun warga emas namun Pak Maon berupaya menari twist dalam Pesta Malam Muda Mudi!

Kemudahan-kemudahan kemasyarakatan untuk warga emas juga memerlukan perhatian.

Kita ada tadika dan tabika untuk kanak-kanak prasekolah. Kita ada pelbagai pusat sukan seperti padang futsal, gelanggang sepak takraw atau dewan serbaguna untuk bermain badminton tetapi tidak banyak pusat aktiviti untuk Warga Emas sepertimana Day Care Centre di negara-negara seperti United Kingdom.

Ia perlu diwajibkan sebagai salah satu keperluan perancangan. Sebenarnya warga emas masih memiliki kemampuan untuk menyumbang kepada masyarakat dan pusat-pusat seperti ini membuka peluang kepada mereka.

Jika kerajaan tidak dapat menyediakannya maka tanggungjawab ini boleh diambil alih oleh institusi-institusi keagamaan seperti masjid dan surau.

Perlu diwujudkan program-program khusus untuk warga emas. Contohnya program-program menjaga kesihatan seperti aktiviti senaman, perancangan pemakanan atau pengesanan awal penyakit-penyakit kritikal.

Ketika menjadi Adun saya pernah menganjurkan program yang serupa yang dinamakam Program Prihatin Warga Emas (PPWE) di sebuah masjid di kawasan saya.

Hari ini terdapat pihak swasta yang menubuhkan “Pondok Moden Warga Emas” di mana terdapat warga emas yang tinggal di situ dan ada yang berulang-alik.

Di situ mereka akan mengikuti pelbagai kelas pengajian dan aktiviti keagamaan. Konsep ini adalah sama seperti Retirement Home di Barat tetapi pengisiannya berbeza.

Ia semakin popular dan wajar mendapat lebih banyak sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan.

Akhirnya kesemuanya bergantung kepada sikap kita terhadap warga emas. Adakah kita menganggap mereka sebagai orang yang berjasa kepada negara dan perlu dihargai serta diraikan?

Atau kita menganggap masa mereka telah berlalu dan mereka perlu diketepikan serta dilupakan?

Persidangan Bandar Mesra Usia 2021 (Age-Friendly Cities Conference 2021) di Kuala Lumpur baru-baru ini telah memberi harapan kepada Warga Emas.

Bandar Taiping di Perak dipilih sebagai bandar pertama di Malaysia bagi menjayakan projek rintis Bandar Mesra Usia.

Adalah diharapkan selepas ini terdapat lebih banyak bandar yang mesra usia emas di negara kita yang merangkumi semua aspek-aspek kehidupan. Ia sudah tentu memerlukan komitmen daripada kerajaan dan swasta. – HARAKAHDAILY 8/2/2021

Penulis ialah Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH).

- Advertisement -