KKM cadang naik kompaun langgar SOP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyerah draf pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada Peguam Negara.

Penyerahan itu bagi tujuan mengkaji semula kadar kompaun ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pindaan Akta 342 diperlukan berikutan jumlah kompaun maksimum yang diperuntukkan sekarang sebanyak RM1,000.

- Advertisement -

Menurutnya, Akta 342 hanya menetapkan denda maksimum RM1,000 sahaja dan sudah sampai masanya pindaan itu dibuat berdasarkan keperluan.

Katanya lagi, rangka pindaan telah diserahkan kepada Peguam Negara, di samping sekarang kerajaan menguatkuasa Ordinan Darurat.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini semalam. Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dato Dr Zaini Husin.

Kelmarin Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covud-19 di negara ini.

Setiap minggu ribuan saman dikeluarkan PDRM kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP di mana sebahagian besar membabitkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Berhubung kemungkinan PKP akan dilanjutkan, Dr Noor Hisham berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dan apa yang lebih penting pematuhan orang ramai terhadap SOP. – HARAKAHDAILY 1/2/2021

- Advertisement -