Proklamasi Darurat atasi mudarat lebih besar

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Proklamasi Darurat wajar disegerakan tanpa perlu berbincang mengikut keadaan terkini yang benar-benar memerlukan pencegahan dari terus membiarkan kemudaratan berlaku dalam negara.

Demikian kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bagi membidas wujudnya setengah pihak yang cuba mempersoalkan Proklamasi Darurat itu yang dikatakan dilaksana tanpa perbincangan.

Advertisement

“Kita perlu sedar bahawa darurat ini adalah mudarat yang datang dengan segera yang perlu dibendung secara serta-merta dan tidak boleh dibincang.

“Namun ada perkara boleh dibincang dalam darurat ini, yang lebih nyata yang boleh difahami seperti apa yang saya tulis dalam penulisan saya contohnya, sekiranya berlaku rumah terbakar dan pihak bomba terima panggilan di pejabat bahawa ada rumah terbakar, mengikut kaedahnya semua orang faham situasi ini perlu disegerakan dan perlu kerahkan semua tenaga dan tidak perlu untuk berbincang dulu sehingga jadi abu” katanya.

Ujar Ahli Parlimen Marang, melihat situasi negara yang terkini, Proklamasi Darurat wajar dilaksanakan dengan serta-merta untuk mencegah penularan wabak Covid-19 sekali gus menyelamatkan nyawa manusia dari terus menjadi mangsa korban wabak itu.

Beliau menegaskan, namun sebaliknya perbalahan dan perebutan kuasa tidak seharusnya berlaku dalam suasana negara sedang berdepan dengan cabaran wabak Covid-19.

Sikap sesetengah pihak yang mementingkan diri dan kuasa ini menunjukkan bahawa mereka tidak peka dengan nasib yang sedang menimpa rakyat.

Justeru itu katanya, sebarang tindakan yang mengganggu dan boleh merosakan proses perlaksanaan Proklamasi Darurat perlu dicegah dengan langkah dan tindakan tegas.

Presiden PAS berucap sebagai tetamu undangan khas di Facebook dan Youtube Gerakan Pembela Ummah yang dipancarkan secara langsung, pagi tadi.

Program webinar isu semasa anjuran Gerakan Pembela Ummah yang membincangkan topik Proklamasi Darurat: Apakah satu keperluan? itu berlangsung secara atas talian turut mengundang penampilan khas Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) Ustaz Ahmad Marzuk Shaary.

Selain itu, dalam program yang bermula sejak jam 9 pagi dan tamat sekitar tengah hari tadi telah dikendalikan oleh moderator Profesor Dr Supyan Hussin yang turut melibatkan 10 pembentang kertas kerja. – HARAKAHDAILY 24/1/2021