Bayaran BPN 2.0 mulai 21 Januari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 akan mula dibayar bermula 21 Januari ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang disiarkan secara langsung, semalam.

Menurut beliau, peruntukan tersebut akan memanfaatkan 11.1 juta penerima dengan jumlah keseluruhan RM2.38 bilion diperuntukkan khas untuk BPN 2.0.

Ia merangkumi 10.6 juta penerima BPN sedia ada serta 460,000 penerima baharu.

- Advertisement -

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa semakan kelulusan boleh dibuat bermula pada Jumaat, 15 Januari lalu, melalui https://bpn.hasil.gov.my.

Tambah beliau, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dibuat mulai 25 Januari 2021 di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Katanya, BSN akan mengeluarkan panduan SOP dari semasa ke semasa.

Sementara itu, penerima di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank pula, pembayaran akan dibuat bermula awal Februari sehingga 1 April 2021 di lokasi yang bakal diumumkan akhir bulan ini, katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin dalam masa sama turut memaklumkan bahawa bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kali ini akan melibatkan lebih daripada 8 juta penerima dan turut akan mula dibayar bermula tarikh sama.

Katanya, golongan isi rumah yang berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan akan menerima RM300, manakala bagi kategori bujang berpendapatan sehingga RM2,000 sebulan pula akan menerima RM150.

Selain itu, kerajaan juga telah meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut berkuat kuasa mulai bulan Januari ini.

Kata Muhyiddin, bantuan kebajikan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion dan akan
memanfaatkan lebih daripada 400 ribu penerima.

Malah, JKM juga akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan yang merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta.

Disamping itu, kata Muhyiddin, sebagai tanda penghargaan kepada usaha murni rakyat yang ingin turut bersama-sama menyalurkan sumbangan bagi mengekang penularan Covid-19, kerajaan menyediakan beberapa insentif dalam bentuk potongan cukai kepada penderma yang menyumbang wang tunai ataupun barangan serta membantu rakyat yang terkesan
dengan wabak tersebut.

Penyumbang layak menuntut potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan atau pendapatan agregat mereka, jelasnya. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -