Belanjawan 2021: PN masih ada majoriti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kelulusan Belanjawan 2021 menunjukkan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai sokongan majoriti bagi meneruskan pentadbiran sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, keputusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 yang diputuskan Yang Dipertua Dewan, Dato’ Azhar Azizan Harun semalam akan memberi kesan positif terhadap pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara yang diharapkan.

- Advertisement -

“PINTAR percaya bahawa kelulusan ini adalah baik untuk rakyat apatah lagi ia mempunyai pakej-pakej untuk membantu rakyat terutama ketika negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19.

“Sudah pasti, menjadi hasrat masyarakat Malaysia agar negara terus berada dalam keadaan stabil dari aspek politik kerana ia akan memberikan kesan besar kepada ekonomi dan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Roslan berkata, pihak pelaksana perlu sentiasa telus dan berintegriti tinggi dalam mengendalikan pelbagai peruntukan yang telah diluluskan tersebut.

“PINTAR melihat sudah tiba masa untuk para wakil rakyat ini bekerja dan memberi fokus untuk melaksanakan segala perancangan berdasarkan belanjawan tersebut bagi memastikan manfaat dapar dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, pihaknya menzahirkan ucapan syabas kepada semua Ahli Parlimen yang telah menyokong RUU Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat semalam dengan undian 111 menyokong dan 108 menolak.

Sokongan tersebut secara langsung telah meluluskan Belanjawan Negara bagi tahun 2021 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 November lalu. – HARAKAHDAILY 16/12/2020

- Advertisement -