Projek Rintis bela nasib guru-guru KAFA

- Advertisement -

SAYA melahirkan rasa bersyukur kerana berpeluang untuk membangkitkan isu permasalahan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat dasar pada 18 November lalu.

Isu menaik taraf penjawatan guru KAFA bukanlah satu isu baharu. Tenaga pengajar ini telah berkhidmat puluhan tahun. Namun, guru-guru tersebut masih lagi tidak diberikan jawatan tetap dan sehingga kini hanyalah berstatus kontrak. 

Oleh itu, jawapan Menteri Agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) pada sesi jawapan Kementerian berkenaan Projek Rintis membuktikan kerajaan hari ini memberi tumpuan yang serius bagi membela nasib guru-guru KAFA ini.

- Advertisement -

Melalui Projek Rintis, pihak kerajaan sedang dalam pertimbangan untuk mewujudkan jawatan tetap guru KAFA dan guru-guru akan dibayar elaun setaraf dengan DG29. Projek Rintis ini juga dapat menjadi penanda aras untuk kerajaan mewujudkan jawatan tetap dan berpencen kepada guru-guru KAFA pada masa akan datang.

Justeru, saya berharap agar projek tersebut dapat dijalankan secepat mungkin bagi menzahirkan kerajaan benar-benar komited untuk membela nasib 35,000 guru KAFA. Selain dapat memastikan, institusi KAFA akan terus dilihat bermutu serta mampu melahirkan alim ulama profesional sekaligus mampu menyumbang untuk ummah. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan” 

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -