Terengganu sedang siap dua kompleks sukan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu sedang menyiapkan dua buah kompleks sukan, masing-masing di Jabi, Setiu dan Telemong, Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kedua-dua projek pembinaan kompleks sukan itu berjalan lancar.

- Advertisement -

Katanya, Kompleks Sukan Hulu Terengganu, di Kuala Ping Telemong dan di Jabi, Setiu dijangka akan siap tahun ini.

Menurutnya, projek pembinaan kompleks sukan berkenaan merupakan antara beberapa projek yang telah pun dipersetujui pembiayaan daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBSM).

“Antaranya, projek pembinaan Kompleks Sukan di Jabi, Setiu yang bersempadanan dengan Besut menelan kos sebanyak RM6.2 juta.

“Setakat ini, projek pembangunan di Jabi itu telah pun mencapai kemajuan 82 peratus pembinaan fizikalnya. Insya Allah, kita (kerajaan) jangka 7 Disember depan projek ini akan siap sepenuhnya.

“Projek kedua, pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu di Telemong pula menelan belanja sebanyak RM5.39 juta.

“Maklumat terkini yang saya dapat pembinaannya juga telah pun siap sebanyak 63 peratus. Dijangka akan siap pada akhir tahun ini juga, Insya Allah,” ujarnya kepada Harakahdaily, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam berkata, banyak kemudahan boleh digunakan oleh orang ramai apabila siap pembinaan kompleks sukan tersebut.

Menurutnya, kompleks itu merupakan kemudahan sukan yang kedua dan ketiga bagi rakyat Terengganu selepas, Velodrom Azizulhasni Awang berharga RM14 juta di Dungun diumumkan, sebelum ini.

Terengganu terkenal dengan kehebatan sukan berbasikal seperti pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dan atlet bertaraf dunia, Mohd Azizulhasni Awang. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -