Tumpu pelaburan dalam mekanisasi dan automasi sawit

- Advertisement -

MASJID TANAH: RM30 juta geran padanan untuk pelaburan dalam mekanisasi dan automasi industri sawit merupakan suatu cadangan bijak yang sangat ditunggu pelaksanaannya.

Walaupun nilai geran padanan ini agak kecil tetapi ia merupakan satu permulaan yang baik bagi menggalakkan program inovasi khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Demikian dinyatakan Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Palm Oil Board (MPOB), Bakri Jamaluddin ketika diminta mengulas tentang Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menurut beliau peruntukan ini boleh ditambah untuk tahun-tahun kedepannya sesuai dengan kemajuan inovasi dan perkembangan dalam R&D mekanisasi dan automasi di sektor perladangan sawit.

“Sektor pertanian negara sendiri menyumbang sebanyak 7.3 peratus (RM99.5 bilion ) kepada KDNK di mana daripada jumlah tersebut sawit merupakan penyumbang terbesar dengan 37.7 peratus dan getah sebanyak 2.8 peratus.

“Walaupun Belanjawan 2021 tidak memberikan peruntukan yang tinggi kepada sektor industri sawit, tetapi secara keseluruhan peruntukan untuk industri komoditi negara bertambah sebanyak 8.8 peratus berbanding Belanjawan 2020,” ujar beliau.

Bakri yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Melaka berkata, penglibatan kerajaan secara serius dalam mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan menggalakkan rakyat untuk menceburi sektor perladangan sawit adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan.

“Melalui geran padanan ini agensi berkaitan dapat memberikan fokus bagi mencipta dan menghasilkan peralatan dan jentera yang reliable, memenuhi keperluan mekanisasi dan automasi perladangan seterusnya dapat meningkatkan produktiviti dan upah serta menarik minat rakyat tempatan untuk terlibat terus dalam sektor komoditi yang penting untuk negara.

“Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, tetapi sekitar 75 hingga 85 peratus tenaga kerjanya adalah terdiri daripada warga asing. Menurut perangkaan, sekitar 2.33 juta pekerja asing bekerja di Malaysia hari ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurut Bakri penggunaan buruh asing ini telah mengakibatkan pengaliran tunai keluar sekitar RM30 bilion setahun, jadi insentif memperkerjakan rakyat yang dicadangkan dalam Belanjawan 2021 merupakan suatu skim galakan yang baik terhadap majikan dan pekerja tempatan.

Kata beliau, 60 peratus insentif yang diberikan daripada pendapatan bulanan pekerja di mana 40 peratus daripadanya akan diberikan kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan ini dapat menggalakkan majikan sektor perladangan untuk memperkerjakan rakyat tempatan dan mengurangi pekerja asing.

“Dalam suasana dunia dilanda wabak Covid-19, permintaan terhadap sarung tangan getah sangat tinggi. Empat syarikat pengeluar utama sarung tangan getah Malaysia menuai keuntungan yang sangat luar biasa. Malah mereka bersetuju untuk menyumbangkan sebanyak RM400 juta daripada keuntungan mereka untuk membantu negara dalam menangani pandemik Covid-19.

“Walaupun begitu, pengeluaran lateks (getah cair) dalam negara sejumlah 36,000 tan setahun sangat tidak mencukupi, sedangkan keperluan lateks termasuk industri sarung tangan getah adalah sebanyak 435,000 tan setahun. Kekurangan ini terpaksa diimport dari negara luar terutamanya negara Thailand.

“Oleh itu cadangan dalam Belanjawan 2021 yang memperuntukkan RM16 juta insentif pengeluaran lateks juga sangat dialukan. Majoriti daripada pekebun kecil getah hari ini lebih cenderung menghasilkan cup lump atau getah sekerap kerana prosesnya lebih mudah dan tidak memerlukan waktu kerja yang panjang. Tetapi harga setiap sekilo cup lump adalah lebih rendah berbanding harga lateks,” jelas beliau.

Tambah Bakri lagi, langkah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk menjadikan Kelantan, Terengganu dan Pahang sebagai hub pengeluaran lateks merupakan suatu langkah bijak bagi meningkatkan pengeluaran lateks dalam negara dan mengurangi import dari luar.

Kata beliau, ini ditambah dengan adanya insentif ini, sudah pastinya ianya akan menjadi momentum kepada pekebun kecil getah untuk terlibat secara serius dalam menghasilkan lateks.

“Selain meningkatkan pengeluaran lateks negara, ianya juga akan dapat menambah pendapatan pekebun kecil. Sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap peningkatan sumbangan industri getah kepada KDNK.

“Diharapkan dengan beberapa insentif dan geran cadangan yang diperkenalkan terhadap sektor agro-komoditi negara dalam Belanjawan 2021 akan benar-benar dapat memacu peningkatan produktiviti komoditi, pendapatan rakyat, memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan yang lebih penting dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang dianggarkan sekitar 6.5 hingga 7.5 peratus untuk tahun 2021,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -