PAS elak ‘perangkap’ musuh – Tuan Ibrahim

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: PAS berjaya mengelak perangkap musuh seterusnya membuka peluang Perikatan Nasional (PN) membuat kejutan bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pada 26 September ini.

Malah ia menyebabkan musuh hari ini tidak keruan dan menyerang PAS, walaupun parti ini tidak bertanding dalam PRN Sabah.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selepas ini Perikatan Nasional akan melancarkan manifesto bersama dengan parti-parti komponennya.

“Jadi, kita mengelak ‘perangkap’ yang dipasang oleh musuh, jika kita turut bertanding akan timbul pertembungan sesama sendiri dan natijahnya ialah kerugian kepada muafakat.

“Saya tengok peluang besar, Insya’Allah. Pada 15 September ini, kita (PN) akan melancarkan manifesto bersama, tubuhkan bilik gerakan bersama, pengarahan bersama dengan kepimpinan daripada kedua-dua blok yang bersama dalam Perikatan Nasional,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.

Namun, katanya keputusan PAS tidak menyertai pilihan raya Sabah kali ini bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam Perikatan Nasional.

Kata beliau, mekanisma menghadapi pilihan raya ini mesti mempunyai strategi yang betul agar tidak merugikan.

“Strategi politik ini macam-macam dan sebenarnya PAS terlibat dari awal lagi perundingan dan perbincangan untuk sertai pilihan raya.

“Kita (PAS) berjiwa besar dan kita bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Presiden PAS. Sebab, mekanisma menghadapi pilihan raya ini mesti mempunyai strategi yang betul,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan, muktamar kali ini memberi tumpuan kepada agenda Perpaduan Ummah serta memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

“Pertama, kita menggagaskan agenda Perpaduan Ummah. Isu perpaduan ini masih lagi menjadi isu besar dalam negara kita.

“PAS, kita gagaskan beberapa langkah untuk menyelesaikan isu Perpaduan Ummah, Perpaduan Nasional dalam kalangan pelbagai kaum.

“Kedua, memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. PAS telah ada Jawatankuasa Induk, kita sudah lantik Jawatankuasa Teknikal dan kita ada Jawatankuasa Perundingan Kerusi,” ujarnya.

Muktamar Pemuda PAS Malaysia kali ini turut diadakan secara atas talian bagi diikuti oleh perwakilan Pemuda di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, yang tidak dibenarkan hadir kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -