DMP Kedah ikuti muktamar ‘atas talian’

ALOR SETAR: Perwakilan Dewan Muslimat PAS dari kawasan seluruh Kedah melalui pengalaman baharu bermuktamar apabila terpaksa mengikuti Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) yang berlangsung di Kuala Lumpur secara atas talian di kediaman masing-masing.

Penyertaan secara fizikal dikecualikan berikutan penularan pandemik Covid-19 di Kedah agak membimbangkan.

Advertisement

Terkini 28 mukim di daerah Kota Setar dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 11 September hingga 25 September ini.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah (DMPNK) Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, keputusan berkenaan dipersetujui demi menjaga keselamatan semua pihak.

“Pada awalnya perwakilan Kedah telah mendaftar untuk hadir namun disebabkan perkembangan terkini, ia terpaksa dibatalkan dan pihak DMPNK mengambil keputusan mengikuti muktamar itu secara di atas talian di tempat atau kediaman masing-masing,” ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa DMPM hanya mengambil bahagian di muktamar berkenaan secara atas talian bersama perwakilan Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Serai di Pusat Khidmat Dun Merbau Pulas, Padang Meha.

Semalam, semua perwakilan dan pemerhatian dewan terbabit mengikuti majlis perasmian Muktamar Tahunan DMPM yang diadakan di Hotel Primeira, Menara MARA, Kuala Lumpur, secara live di rumah masing-masing.

“Ini merupakan pengalaman pertama untuk kami (perwakilan Kedah),” balas beliau singkat.

Insiden yang sama juga dihadapi oleh perwakilan Dewan Ulamak dan Pemuda seluruh Kedah yang tidak dikecualikan hadir ke Muktamar Tahunan Dewan masing-masing atas sebab yang sama.- HARAKAHDAILY 12/9/2020