Pemuda PAS lancar Yayasan Pendidikan Ummah

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Kali Ke-61, Sektor Pendidikan telah melancarkan penubuhan Yayasan Pendidikan Ummah dengan objektif untuk menjaga kebajikan warga agensi pendidikan DPPM termasuk PASTI Malaysia, SRITI Malaysia dan SMITI Malaysia.

- Advertisement -

Sebagai gimik pelancaran, Ketua Sektor Pendidikan DPPM, Muhtar Suhaili As-Sarawaki telah menyerahkan profail Yayasan Pendidikan Ummah kepada Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin dengan disaksikan oleh perasmi iaitu Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Replika Yayasan Pendidikan Ummah telah dibawa naik ke pentas oleh murid PASTI, SRITI dan SMITI dengan diiringi oleh Guru masing-masing.

Turut bersama Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Ustaz Syarhan Humaizi Halim dan Timbalan Ketua Pengarah SRITI Malaysia, Ustaz Wan Abu Bakar Wan Mahussin dan Ketua Pengarah SMITI Malaysia Cikgu Haji Hassan Aladi Ahmad.

Jihad Pendidikan merupakan salah satu agenda penting PAS di mana Dewan Pemuda PAS Malaysia telah diamanahkan untuk menjadi penaung kepada sistem pendidikan awal kanak-kanak melalui kewujudan PASTI yang ditubuhkan pada tahun 1984.

Bermula tahun 2015, DPPM mengambil langkah seterusnya dengan menggerakkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan diikuti pada tahun 2019 dengan tertubuhnya jawatankuasa pelaksana Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMIT).

Sehingga kini terdapat 2,529 buah PASTI, 162 buah SRITI dan 5 buah SMITI di seluruh negara. Terdapat 142,000 orang murid PASTI, 15,000 orang murid SRITI dan 73 orang Pelajar SMITI yang dididik oleh 8,800 orang Guru PASTI, 1,500 Guru SRITI dan 18 orang Guru SMITI.

Untuk sesi kali ini, bagi memastikan pengurusan profesionalisme dan khususnya kebajikan warga PASTI, SRITI dan SMITI diambil perhatian sepenuhnya, Sektor Pendidikan mengambil langkah seterusnya dengan menubuhkan satu Yayasan Pendidikan.

Idea penubuhan ini adalah inspirasi daripada Ir Khairil Nizam sendiri dan melalui inisiatif hala tuju Ketua Sektor Pendidikan, Muhtar Suhaili dengan PASTI Malaysia menjadi agensi pelaksana ke arah penubuhan institusi penting ini. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -