2 September 1998 dalam kenangan pahit manis

- Advertisement -

MELEWATI jarum jam 12 malam dua September 2020, aku mula menyedari tiada sambutan atau pesta pora besar untuk memperingati tarikh keramat pemecatan DS Anwar Ibrahim. Lazimnya tarikh 2 September setiap tahun akan diperingati, paling kurang kepada aktivis politik zaman reformasi 1998. 22 tahun lalu tanggal 2 September adalah titik mula gelombang kesedaran politik di tanah air ini, juga kemuncak pertembungan Anwar dan Dr Mahathir.

- Advertisement -

Itulah ludahan realiti, ditelan pahit nak dibuang terasa sayang kata arwah JS Kevin, panjang aku mengikuti denai sejarah Bung Anwar semenjak zaman kampus. Seorang pensyarahku di kampus, Prof Mohamad Abubakar merakamkan aktivisme pelajar dalam dekad 1970-an dalam bukunya ” Mahasiswa Menggugat “. Anwar Ibrahim yang pernah memahat nama besar dan penting dalam gerakan anak muda dasawarsa 70-an dengan memimpin ABIM, mendekam dalam tahanan ISA, menjadi jurubicara ummah yang dikagumi dalam gelombang kebangkitan Islam.

Anwar dipancing ke dalam Umno di awal Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, perjalanan politiknya lincah dan mudah. Bermula tahun 1982, menyaksikan ABIM juga terpecah kepada tiga kelompok, bahkan terpecahnya juga gerakan mahasiswa di kampus-kampus akibat tindakan Anwar menyertai Umno. Anwar menjalankan kempen Islamisasi dengan jenama Penerapan nilai-nilai Islam (PNI), juga sebagai langkah memintas pengaruh PAS akibat Islamic revivalism yang jika tak dikawal maka PAS akan memperolehi labanya.

Aku memasuki kampus Universiti Malaya dan melihat serta merasai pertembungan antara kelompok siswa, kumpulan pro PAS yang bertembung dengan kelompok pengkagum Anwar di kampus UM. Tragedi 2 September 1998 dengan berlakunya pemecatan Anwar yang tragis, aku turut dipalit dengan simpati yang mendalam. Kesakitan dipikul Anwar menghilangkan rasa benci yang terpendam sejak di zaman kampus kerana tidak sedikit sikap kasar Anwar terhadap kumpulan yang berseberangan nuansa dengannya.

Pasca 2 September yang membidani gerakan reformasi juga menyebabkan aku menatap potret perjuangan Anwar daripada dekat, sebagai Exco Dewan Pemuda PAS, tanpa diarah dan disuruh, aku hadir ke Bukit Damansara mendengar wejangan Anwar serta figura politik yang menyokong Anwar. Rajin juga turun ke kompleks Sogo, Kampong Baru dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Bantahan awam yang sentiasa berakhir dengan gas pemedih mata, sepak terajang FRU serta black Maria yang bengis. Tempat tinggalku di Flat UDA Jalan Pantai Bharu menjadi markas reformasi kerana Sekolah Yayasan Anda Akademik terletak di situ dan Anwar adalah pengasasnya. SB yang sentiasa berkeliaran di kawasan dua blok bangunan, mematai gerak geri anak-anak muda yang begitu obses dengan perkembangan politik.

Aku sempat juga menulis buku berkaitan Anwar dan Reformasi, ada sisi hitam dan putih pada ikon reformasi ini. Wajarlah, Anwar sebagai manusia bukan malaikat! Bung Anwar tetap menjadi sebahagian sejarah negara ini semenjak dekad 70-an. Beliau mendampingi PAS saat susah dan diserang pasca 2 September, Pergulatan politiknya panjang dan berwarna warni.

Tragedi 2 September 1998 mungkin tidak berada di dalam kotak fikiran generasi muda bawah umur 40 tahun, badai tragedi ini berlaku kerana sengit dan kerasnya persaingan merebut kuasa di antara DS Anwar Ibrahim (kini Presiden PKR) dengan Dr Mahathir Mohamad (kini Pengerusi Pejuang). Lebih dua dekad mereka bertembung dan politik tanah watan ini berkisar pada kisah mereka berdua.

Pasca 2 September 1998, Anwar melancarkan Reformasi, dengan pantas menjadi fenomena baru dalam belantara politik Malaysia. Himpunan demi himpunan, buku dan majalah dicetak mencecah ratusan ribu naskah, bahkan akhbar Harakah mencapai jualan 400 ribu naskah. Segalanya tentang Anwar dan kebangkitan politik menentang regim yang korup.

Anwar dengan paparan wajah bermata lebam mengundang simpati rakyat negara ini terutama orang-orang Melayu, beliau kemudiannya terpenjara di dalam tahanan ISA. PAS yang dipimpin oleh Ustaz Fadhil Noor telah menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) pada April 1999. Dilancar GERAK di Markas Tarbiah Taman Melewar KL dengan ratusan ribu manusia yang hadir. Aku saat itu menggalang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, kami anak-anak muda membuat persiapan sebelum dan selepas pelancaran GERAK.

Bertolak daripada kebangkitan rakyat, saudara Tian Chua yang memimpin Gagasan Demokrasi Rakyat (Gagasan) manakala isteri Anwar, DS Wan Azizah mengepalai Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL), sebuah NGO yang membawa aspirasi perjuangan Anwar. Kelompok kelas menengah dan juga pengikut Anwar seperti Dr Chandra Muzaffar bergabung dalam ADIL.

Tindakan politik seterusnya ialah, seorang penyokong Anwar telah ‘membeli’ parti IKATAN dari Terengganu lalu dinamakan Parti Keadilan Nasional (PKN), juga sebagaimana GHB membeli parti Pekerja Malaysia yang akhirnya menjadi PAN. Tindak lanjut selepas itu, PKN telah bergabung dengan PAS, DAP dan PRM untuk membentuk Barisan Alternatif (BA). Barisan Alternatif telah menjadi buah mulut rakyat dengan mencabar hegemoni BN, koalisi politik ini telah membuahkan hasil dalam PRU tahun 1999. Di kawasan majoriti pengundi Melayu, BN telah ditolak dan PAS telah mendapat laba politik paling besar daripada permuafakatan politik pembangkang itu.

Panjang untuk ditinta sejarah Anwar, PKR, gerakan reformasi, perpecahan dalaman PKR, intriq dan polemik di antara pendokong asal gerakan reformasi. Belum lagi dibedah sikap Anwar terhadap PAS selepas 2015, namun Anwar masih lagi aktor utama politik pasca kejatuhan kerajaan PH. Namun sejujurnya, tiada lagi sorak sorai memperingati tragedi 2 September , ulang tahun ke-22 peristiwa bersejarah politik negara. Mengapa makin suram dan hambar?, kalian juga masing-masing menyimpan seribu jawaban mengapa dan mengapa..adakah masih ada harapan buat Anwar kembali berkuasa. Masa yang akan menjawab persoalan itu.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Penulis ialah mantan perusuh budiman, mantan Ketua DPP Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -