Perutusan Hari Kebangsaan MB Terengganu

Malaysia Prihatin : Merdekakan minda harungi cabaran

- Advertisement -

GENAP 63 tahun kemerdekaan, Malaysia telah mengharungi pelbagai ujian dan cabaran sejak tanggal 31 Ogos 1957 yang lalu. Negara telah melalui pelbagai fasa perubahan serta anjakan terutama dari segi politik, pemikiran, ekonomi, pembangunan, pendidikan dan sebagainya yang menjadikan kita lebih matang dan berdaya saing.

- Advertisement -

Kemerdekaan bukan sekadar membelek buku sejarah dengan memperingati kisah dan pejuang-pejuang kemerdekaan, malah pengorbanan mereka wajar dihayati dalam konteks yang lebih luas. Begitu juga penjajahan bukan sekadar kolonial sahaja, namun berkait rapat dengan ideologi, minda dan pemikiran.

Pembangunan sesebuah tamadun tidak tercapai jika terus terbelenggu dengan penjajahan ideologi dan tidak berpegang kepada jati diri negara, bangsa dan agama. Ia termasuklah mengabaikan penghayatan Rukun Negara sehingga membawa kepada anasir negatif yang merobek perpaduan negara.

Umum mengetahui, dunia sedang ‘dijajah’ oleh wabak pandemik Covid-19 yang amat dahsyat termasuk Malaysia. Ia telah merencatkan aktiviti sosio-ekonomi dan memberi impak berganda seperti yang kita maklum.

Namun, apa yang lebih signifikan adalah bagaimana survival untuk bangkit semula selepas pandemik ini sehingga tahun seterusnya. Pakej-pakej rangsangan yang telah diumumkan oleh kerajaan wajar dimanfaatkan, seterusnya merangsang sektor-sektor ekonomi untuk memacu pemulihan dan pertumbuhan.

Gunakan segala ruang dan peluang walaupun dilanda pelbagai cabaran, kerana jika kita biarkan permasalahan tersebut terus mengongkong, ia merupakan penjajahan minda terhadap jiwa kita sendiri.

Sebagai contoh, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan, ia menjadikan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berjaya meneroka peluang pasaran melalui atas talian sehingga melonjakkan perniagaan mereka.

Minda yang merdeka menjadikan kita lebih kreatif, inovatif, dan sentiasa mengintai peluang untuk lebih berdaya saing dan produktif, sekali gus berjaya membawa perubahan konstruktif yang lebih bersifat makro dalam sesebuah negeri atau negara.

Itulah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang bertungkus lumus untuk mencari inisiatif alternatif setelah berhadapan dengan kesan ekonomi global serta impak kejatuhan harga minyak mentah dunia. Merdekakan minda dengan mencari peluang dan meneroka ruang, terutama dalam era transformasi Revolusi Industri 4.0 yang mencabar.

Akhirnya, marilah kita menyelami maksud sebenar tema Hari Kemerdekaan Malaysia ke 63 iaitu ‘Malaysia Prihatin’ yang menuntut kita untuk mengharungi cabaran getir bersama-sama tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa.

Di kesempatan ini juga, bersama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T atas nikmat kesejahteraan yang negara kita kecapi. Mari kita mengenang pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu dan sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka. Al-Fatihah.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

‘Malaysia Prihatin’
‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’

DATO’ SERI DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -