Kerajaan perkenal modul ‘Cyber Parenting Skill’

- Advertisement -

KUANTAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan melancarkan modul cyber parenting skill bagi membantu ibu bapa mendidik dan mengawasi penggunaan peranti elektronik anak, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah. 

- Advertisement -

Beliau berkata pengenalan modul yang dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia itu penting mengambil kira situasi sekarang yang menyaksikan penggunaan peranti khususnya telefon pintar semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan kanak-kanak. 

“Mesej yang sering disampaikan ialah mengajak seluruh masyarakat menggunakan teknologi digital, namun yang jarang dibincangkan ialah mengenai keselamatan siber dan bagaimana ibu bapa hendak mengawasi perkembangan penggunaannya oleh anak.

“Perkembangan dunia digital pada masa kini memerlukan ibu bapa juga mempunyai pengetahuan pendidikan untuk mengawasi penggunaan gadget anak-anak supaya ia dapat digunakan dengan sebijaksana yang mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Digital Indera Mahkota di sini, hari ini. 

Saifuddin berkata selaku Ahli Parlimen Indera Mahkota, beliau dan ADUN Beserah, Andansura Rabu juga mengambil inisiatif melakukan ‘nilai tambah’ terhadap aspek kawalan penggunaan peranti dan teknologi kepada pelajar prasekolah di kawasan Parlimen beliau.
 
Katanya, aspek kawalan kendiri dalam penggunaan peranti dan aplikasi teknologi perlu diterapkan sejak usia muda dengan penglibatan guru prasekolah seperti di tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang mana cadangan itu akan diutarakan kepada pihak terlibat. 

“Anak kecil semakin biasa dengan telefon pintar menyebabkan kita perlu mendidik mereka bagaimana mahu menggunakannya dengan bertanggungjawab. Kita tidak mahu berlaku perkara seperti buli siber yang boleh menjejaskan psikologi mereka,” katanya. 

Mengulas penganjuran karnival itu, Saifuddin berkata karnival yang berlangsung selama dua minggu dengan kemuncaknya pada hujung minggu ini, adalah sebahagian daripada program IMFutures  yang bertujuan memberi pendedahan dan galakan tentang perkembangan teknolgi digital kepada masyarakat. 

Selain pertandingan e-sukan, turut diadakan ialah kelas pemasaran dalam talian dan pertandingan robotik dengan penyertaan keseluruhan hampir 300 peserta yang disifatkan Saifuddin sebagai permulaan untuk membudayakan dan meningkatkan penggunaan  teknologi. 

Saifuddin berkata IMFutures juga menjalinkan kerjasama dengan MSD Innovation Sdn Bhd, Ingeniworks Sdn Bhd dan Efflean Group Consultant sebagai rakan strategik untuk melaksanakan program berkaitan teknologi di sekitar Indera Mahkota. 

Antara program yang dirancang ialah Saluran Komuniti Indera Mahkota (skIM) yang dijangka dapat direalisasikan selewat-lewatnya pada Oktober ini, selain beberapa program dalam aspek penyampaian digital pembelajaran. – BERNAMA

- Advertisement -