Siasatan menyeluruh, RCI jalan terbaik – Nik Zawawi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyokong penuh sekiranya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kes penyelewengan dalam Tabung Haji (TH) bertujuan menamatkan kemelut yang berlaku dalam institusi tersebut selama ini.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata penubuhan RCI Tabung Haji itu perlu bagi menyiasat perjalanan TH yang hangat diperdebatkan sebelum ini.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily di Bangunan Parlimen hari ini bagi mengulas berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk mempertimbangkan keperluan bagi penubuhan RCI.

Beliau yakin RCI akan ditubuhkan oleh pihak kerajaan, supaya ia dapat dinilai dengan satu siasatan menyeluruh dilakukan dengan sebaik mungkin bagi menyiasat apa yang sebenarnya berlaku terhadap pentadbiran institusi berkenaan.

Malah katanya, dengan adanya pertubuhan RCI ini juga dapat memberi pengajaran kepada semua pihak berkuasa yang akan memimpin negara supaya tidak sewenangnya mempermainkan harta yang dimiliki oleh Tabung Haji.

Mengulas lanjut katanya, RCI merupakan jalan terbaik mencari titik penyelesaian merungkai masalah dan sekiranya terdapat pihak yang terbukti terlibat dalam sebarang kesalahan maka tindakan undang-undang perlu diambil secara setimpal.

Justeru itu, beliau berharap agar RCI dapat diteruskan bagi menyokong gesaan dan sekali gus dapat mengembalikan keyakinan umat Islam terhadap institusi Tabung Haji. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -