Penternakan babi gagal patuh enakmen, sistem MPF

Punca pencemaran, kemusnahan dan kebimbangan merebak penyakit

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Aktiviti penternakan babi secara tradisional dikenal pasti menjadi punca pencemaran dan kemusnahan alam sekitar serta kebimbangan merebaknya kes Japanese Encephalitis (JE) yang sedang berlaku di negeri ini.

- Advertisement -

PAS Kawasan Tasek Gelugor menyuarakan perkara itu mewakili PAS Negeri Pulau Pinang ketika menghantar Memorandum Pencemaran Sungai Kreh Seberang Perai Utara kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

Serahan disampaikan Yang DiPertua PAS Tasek Gelugor, Mohd Sobri Salleh kepada Ketua Penolong Pengarah Kanan JAS Pulau Pinang, Abdul Aziz Parmin di Pejabat JAS Pulau Pinang, Bertam, di sini tengahari tadi.

Beliau diiringi Aktivis Alam Sekitar, Saiful Lizan Md Yusoff dan Pengerusi Qaryah Masjid Lahar Yooi, Arsyad Md Salleh serta Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim.

Penternakan babi yang dijalankan didapati gagal menuruti Enakmen Penternakan Babi 2016 diluluskan DUN Pulau Pinang mahupun sistem Penternakan Moden Babi (MPF) diputuskan pada 17 September 2014 oleh Kerajaan Persekutuan.

Di mana kriteria utama MPF meliputi kandang tertutup, pengurusan sisa kumbahan ladang ‘zero discharge’ dan zon penampan berjarak 200 meter dari rumah kediaman, sekolah, klinik, tempat ibadat, taman rekreasi, pasar dan tempat makan awam serta mengamalkan Ladang Ternakan Yang Baik (GAHP).

Memorandum itu menyenarai dan memperincikan akibat daripada penternakan tersebut di mana menyebabkan pencemaran sungai dan bau yang teruk hingga menjejaskan banyak aspek kehidupan penduduk setempat.

Keadaan jijik dan memualkan itu bertambah buruk apabila berlakunya banjir, selain tiada kehidupan air dapat membiak, termasuk merosakkan padi dan tanaman lain, serta aktiviti sungai seperti memancing dan riadah lainnya.

Difahamkan, dari maklumat perolehi terdapat sebanyak 74 kandang babi yang aktif dengan lebih dari 80,000 babi diternak hanya di Kampung Selamat itu sahaja, tidak termasuk banyak lagi seluruh negeri ini.

“Babi dan burung liar merupakan ‘natural reservoir’ virus JE dan virus tersebar disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culex.

“Kami sertakan maklumat isu semasa berkaitan penyakit JE agar pihak berwajib memandang serius bahawa kepentingan menjaga warga penduduk lebih besar daripada beberapa individu dan segelintir pihak dalam mengaut keuntungan semata-mata,” ujar mereka.

Setakat ini terdapat dua kes JE pada 22 Jun 2020 melibatkan kanak-kanak berumur 2 tahun dari Badak Mati, Sungai Bakap dan kes kedua berumur 8 tahun dari Taman Kuang, Sungai Bakap serta menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Justeru itu, PAS menuntut agar pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pengaliran dan Saliran serta Majlis Bandaraya Seberang Perai mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu itu.

“Cukuplah puluhan tahun penduduk sekitarnya terpaksa menanggung beban demi keuntungan pihak lain. Kami, juga berpendapat bahawa lokasi sepanjang Sungai Kreh mampu membina ekonomi pelancongan kerana susur sungai dan sekitar yang sangat indah serta pemandangan yang cantik.

Namun, ianya dirosakkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan sikap masyarakat yang tidak mengambil berat tentang pemeliharaan alam sekitar.

“Usaha untuk pemuliharaan sungai perlu diangkat oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan negeri dan masyarakat demi kebaikan bersama.

“Secara langsung ia mampu untuk mengangkat ekonomi negeri dalam bidang pertanian dan pelancongan,” nyata mereka menggagas penyelesaian dan masa depan. – HARAKAHDAILY 9/7/2020

- Advertisement -