Solat Jumaat, solat berjemaah: Ilmu dan emosi

- Advertisement -

JANGAN sekadar ‘Ahlu Sunat Wal Jumaat’

‘Suara’ rindukan ingin kembali ke masjid sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac 2020 mestilah dibuktikan dengan kehadiran yang memberangsangkan pada waktu ini setelah tempoh PKPP membuka lebih banyak peluang kehadiran ke masjid-masjid dengan bilangan yang lebih ramai, berbeza mengikut ketetapan dari Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Kerinduan ingin menunaikan solat Jumaat setakat ini mendapat perhatian dan permintaan yang tinggi, namun berjemaah pada setiap solat fardhu masih lagi menjadi muhasabah apatah lagi solat fardhu Subuh.

Keinginan berjemaah mestilah didasari ilmu yang menekankan kefahaman kepentingan mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah setiap waktu serta selainnya. Bukan kerana ‘suasana kebiasaan’ semata-mata. Jika begitu maka nanti lahirlah golongan yang dinamakan Ahlu Sunat Wal Jumaat iaitu mereka yang hadir berjemaah ke masjid hanya pada solat sunat Hari Raya dan solat Jumaat sahaja sedangkan solat fardhu yang lain tidak hadir.

- Advertisement -

Sedangkan peri pentingnya solat berjemaah fardhu di masjid juga khususnya bagi golongan Muslim lelaki dewasa dapat dilihat pada Hadis dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W memberikan amaran keras bagi sesiapa yang tidak hadir solat berjemaah di masjid. Sabda Baginda S.A.W:

لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى مَنَازِلِ قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ

”Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.”

(Riwayat al-Bukhari)

‘Kaki masjid’ sebenar adalah jaga mulut dan tulisan

Menjadi polemik dalam solat kehadiran masjid untuk apabila sebahagian manusia yang imej zahir kononnya ‘kaki masjid’ namun percakapan dan tulisannya hanya menyalahkan pihak agama dan barisan AJK Masjid dengan kata-kata yang tidak sewajarnya dimiliki oleh seseorang yang benar-benar ‘kaki masjid’.

Jika hanya hinaan, cemuhan dan makian yang dilemparkan maka apakah makna ‘kaki masjid’ yang sebelum tempoh PKP sering hadir ke masjid namun perangai tidak berubah? Sebab itu, kehadiran ke masjid adalah menjadi orang yang membersihkan hati dan jiwa serta berusaha menjadi golongan yang bertakwa. Inilah sifat bagi ‘kaki masjid’ yang sebenarnya dengan sifat demikian yang dinyatakan oleh Allah.

Firman Allah S.W.T:

لَا تَقُمۡ فِیهِ أَبَدࣰاۚ لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ یَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِیهِۚ فِیهِ رِجَالࣱ یُحِبُّونَ أَن یَتَطَهَّرُوا۟ۚ وَٱللَّهُ یُحِبُّ ٱلۡمُطَّهِّرِینَ

“Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”

[at-Tawbah: 108]

Usaha kena ada, jangan mengharapkan keuzuran awal

Bila dibuka ruang kehadiran solat berjemaah dengan kehadiran yang terhad ditentukan, menjadi tanggungjawab untuk umat Islam berusaha terlebih dahulu untuk mendapatkan peluang nikmat berjemaah tersebut.

Jangan pula duduk ‘goyang kaki’ sahaja sambil berkata ‘takpe ada keuzuran syar’I’. Ini kerana keuzuran syar’i ialah setelah hilangnya peluang atau tertutup ruang setelah bilangan yang dibuka dipenuhi.

Kefahaman ingin kembali ke masjid dan solat berjemaah yang berasaskan ilmu menjadi tersebut memiliki sifat:

(1) Niat yang benar lagi jelas untuk buat kebajikan.

Ini kerana asas kepada tindakan ialah niat yang dicetuskan. Di dalam Islam, pahala bermula dengan niat yang benar jika mahu laksanakan sesuatu amalan ibadah dan kebajikan. Pahala tetap diberikan sekalipun di saat akhir terdapat kekangan dan keuzuran.

Dalam Hadis Qudsi Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W meriwayatkan dari Allah bahawa:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ : فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ عَشْرَةَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيْرَةٍ

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskan hal tersebut: Siapa yang ingin melaksanakan kebaikan kemudian dia tidak mengamalkannya, maka dicatat disisi-Nya sebagai satu kebaikan penuh. Dan jika dia berniat melakukannya dan kemudian melaksanakannya maka Allah akan mencatatnya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali lipat bahkan hingga kelipatan yang banyak.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(2) Berlumba-lumba ke arah kebajikan.

Asasnya umat Islam berlumba-lumba melakukan kebajikan kerana ia mendapatkan pahala di sisi Allah. Malahan inilah tarbiyah Rasulullah S.A.W ke atas para Sahabat. Apabila terdapat Sahabat yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan sesuatu amalan tertentu maka akan ditanya bagi mendapatkan amalan lain sebagai alternatif kerana tetap ingin melaksanakan amalan juga.

Pengajaran seumpama ini boleh dilihat kepada Hadis dari Abu Zar bahawa:

أَنَّ نَاساً مِنْ أَصْحَابِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلم قَالُوا لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا رَسُوْلَ اللهِ، ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُوْرِ بِاْلأُجُوْرِ يُصَلُّوْنَ كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُوْمُوْنَ كَمَا نَصُوْمُ، وَيتَصَدَّقُوْنَ بِفُضُوْلِ أَمْوَالِهِمْ قَالَ : أَوَ لَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللهُ لَكُمْ مَا تَصَدَّقُوْنَ : إِنَّ لَكُمْ بِكُلِّ تَسْبِيْحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيْرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمِيْدَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَهْلِيْلَةٍ صَدَقَةً وَأَمْرٍ بِالْمَعْرُوْفِ صَدَقَةً وَنَهْيٍ عَن مُنْكَرٍ صَدَقَةً وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةً قَالُوا : يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيَأْتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُوْنُ لَهُ فِيْهَا أَجْرٌ ؟ قَالَ : أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ

“Sesungguhnya sejumlah orang dari Sahabat Rasulullah S.A.W berkata kepada Rasulullah S.A.W: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka (sedang kami tidak dapat melakukannya). (Rasulullah S.A.W) bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kalian jalan untuk bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih merupakan sedekah, setiap takbir merupakan sedekah, setiap tahmid merupakan sedekah, setiap tahlil merupakan sedekah, amar ma’ruf nahi munkar merupakan sedekah dan setiap kemaluan kalian merupakan sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah masakah dikatakan berpahala seseorang di antara kami yang menyalurkan syahwatnya? Beliau bersabda: Bagaimana pendapat kalian seandainya hal tersebut disalurkan di jalan yang haram, bukankah baginya dosa? Demikianlah halnya jika hal tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka baginya mendapatkan pahala.”

(Riwayat Muslim)

Bimbing emosi dengan ilmu

Sehubungan itu, dalam soal kerinduan ke masjid dan solat berjemaah, maka hendaklah diselaraskan rasa keinginan solat berjemaah itu pada solat Jumaat dan juga solat fardhu yang lain. Walaupun beza solat Jumaat dengan solat fardhu yang lain pada angka bilangan jemaah yang menjadi syarat sah namun tidaklah pula menjadi sikap ‘double standard’ yang hanya mahu berjemaah solat Jumaat namun meringankan usaha untuk berlumba mendapatkan solat berjemaah pada solat fardhu yang lain.

Dengan pematuhan SOAP yang dikeluarkan, pihak masjid telah berusaha menyediakan fasiliti dan memastikan pematuhan SOP sepenuhnya agar mengelakkan dari terjadinya kluster baru yang berkaitan COVID-19 ini, sewajarnya ahli kariah dan masyarakat tempatan menghargai penat lelah pihak masjid.

Jangan dibiarkan petugas masjid yang mengambil suhu bagi kehadiran solat Subuh berjemaah khususnya dalam keadaan ‘sendirian’ dan ‘termenung jauh’ menanti kehadiran jemaah yang tidak kunjung tiba. Jika terdapat kehadiran pun, masih lagi tidak sebagaimana yang sewajarnya kerana ‘indah khabar dari rupa’. Melihat ruangan medium FB yang bergegar namun realitinya gelap gemerlapan.

Justeru, perlunya ilmu dalam membimbing emosi kita. Pastikan beramal dengan kefahaman kerana itu yang dituntut serta jauh lebih baik dari hanya beremosi tanpa bimbingan ilmu. Bimbang nanti sebagaimana yang disebutkan ‘hangat-hangat tahi ayam‘ sahaja.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 26/6/2020

- Advertisement -