PH jual isu ‘mandat rakyat’

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) sehingga kini masih ‘menjual’ isu mandat rakyat supaya mengembalikan pentadbiran negara kepada mereka mengikut lunas perundangan selepas kerajaan PH tumbang hasil peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ), Ahmad Nawfal Mahfodz berkata sering kali timbul pertanyaan berhubung peralihan kuasa kepada kerajaan Perikatan Nasional adakah ia tidak mengikut lunas perlembagaan sedia ada.

“Adakah sekiranya PH memerintah baru dikatakan mengikut lunas perlembagaan?” Soalnya.

Beliau berkata demikian berikutan terdapat kenyataan pimpinan PH yang dilihat cuba untuk mencabar titah Sultan Johor apabila menyatakan pihaknya konsisten dengan pendirian bahawa mandat rakyat yang diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 mesti dikembalikan mengikut perundangan.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memberi amaran bahawa baginda sedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sekiranya perebutan kuasa terus berlaku dalam kalangan wakil rakyat di negeri ini.

Sultan Johor bertitah kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini kerana ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri.

Mengulas lanjut, Nawfal berkata, desakan PH itu dilihat seolah-olah cuba menghasut rakyat untuk membelakangi Fasal 23(2) Undang Tubuh Negeri Johor 1895 yang memberikan hak kepada Raja untuk memansuh (membubarkan) atau mengekalkan Dewan Undangan Negeri.

Kata beliau, pihaknya menjunjung titah Sultan Johor supaya para wakil rakyat tidak sibuk untuk berebut kuasa dan jawatan di saat rakyat sedang berada dalam kesempitan.

“Dalam suasana kerajaan masih dalam usaha pemulihan sosio ekonomi dan kesihatan rakyat akibat penularan pendemik Covid-19, adalah baik sekiranya pembubaran DUN dapat dielakkan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata seandainya berlaku pembubaran DUN rakyat jangan lagi memilih calon yang hanya mementingkan diri dan parti mereka sahaja walaupun di saat rakyat hidup susah.- HARAKAHDAILY 4/6/2020

- Advertisement -