Pemandu mabuk sebabkan kematian: 3 fokus utama

- Advertisement -

PENDAHULUAN

Isu kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk seakan tidak berkesudahan. Tidak cukup dengan insiden terbaru pada awal Mei tempoh hari yang melibatkan petugas barisan hadapan iaitu Koperal Muhamad Safwan yang sedang bertugas menjaga sekatan di LEKAS, Kajang, kali ini insiden yang sama berlaku di jalan Sungai Isap, Kuantan Pahang.

Suara kebanyakan rakyat rata-ratanya dimaklumi bahawa mereka bersetuju dan berkehendak agar hukuman ke atas pemandu mabuk yang mengakibatkan korban nyawa ini dibalas dengan setimpal. Nyawa dibalas nyawa.

- Advertisement -

Hukuman lebih berat bagi mencegah termasuk hukuman mati

Ketika ini kesalahan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menetapkan hukuman penjara mandatori antara tiga hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000.

Ini bermakna hukuman minimum ialah penjara tiga tahun dan denda sekurang-kurangnya RM8,000 di samping lesen memandu digantung dan pesalah tidak layak memohon lesen memandu selama lima tahun.

Terdapat satu lagi undang-undang lain iaitu di bawah Seksyen 299 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan menyebabkan kematian dengan sengaja.

Seksyen 299 Kanun Keseksaan mengenakan hukuman lebih berat daripada APJ iaitu penjara sehingga 30 tahun. Namun sukar digunakan dalam situasi contohnya, perbuatan tanpa niat menyebabkan kematian dan perbuatan dengan niat tetapi tidak menyangka terjadinya kematian.

Biasanya, pihak pendakwa raya tidak begitu gemar menggunakan Seksyen 299 kerana beban pembuktian lebih berat dan mereka (pendakwa raya) lebih gemar menggunakan APJ 1987.

Dalam hal ini terdapat desakan untuk dipertingkat lagi hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk sama ada:

(1) Dipanjangkan lagi tempoh penjara sehingga 30 tahun.
(2) Ditingkatkan lagi denda sehingga maksima RM 100 ribu.

Namun kedua-duanya dilihat masih belum mampu meredakan desakan orang ramai kerana nyawa tiada nilai gantinya sekalipun pesalah dikenakan hukuman seperti di atas.

Walaupun menjadi kepayahan dalam membuktikan keadaan pemabuk sengaja untuk membunuh namun dalam beberapa kes tertentu mabuk secara sengaja dan sedar adalah satu kesalahan yang besar kerana menempatkan diri ke tempat yang menjerumus membawa kecelakaan.

Adalah dalam kes ini, pendakwa raya boleh mendakwa sama ada:

(1) Jika pesalah mabuk dengan sengaja iaitu sedar tindakan meminum arak atau minuman beralkohol yang memabuk tanpa paksaan maka ia wajar dijatuhkan hukuman berat sehingga tahap bunuh.

(2) Jika pesalah mabuk dalam situasi tidak sengaja dan tanpa sedar meminum sesuatu yang ia boleh menjadi mabuk, maka wajar hukuman selain bunuh, sama ada kekal dengan hukuman yang sedia ada iaitu APJ 1987 atau dipinda hukuman yang lebih berat.

Sekat punca, gantung lesen penjualan arak di premis-premis

Selain hukuman ke atas pesalah, perkara penting juga yang perlu diberikan perhatian ialah sekat puncanya iaitu penjualan minuman arak dan memabukkan yang memungkinkan orang boleh membelinya dengan mudah.

Penjualan arak di Malaysia dikawal oleh beberapa peruntukan undang-undang sedia ada dan penguatkuasaannya dipertanggungjawabkan kepada beberapa Agensi Kerajaan di dalam peringkat Persekutuan, negeri dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Di peringkat Persekutuan, penjualan arak dikawal oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan manakala undang-undang yang berkaitan dengan pelesenan jualan arak oleh JKDM adalah Akta Kastam 1967 (Akta 235) dan Akta Eksais 1976 (Akta 176).

Pengimportan arak yang memabukkan dikawal oleh JKDM dan setiap pengimport perlu mendapatkan lesen untuk mengimport bahan tersebut ke Malaysia berdasarkan peraturan 18 Peraturan-peraturan Kastam 1977. Lesen pengilangan arak yang memabukkan di dalam negara juga dikawal oleh JKDM menurut Akta Eksais 1976. Kehendak pelesenan yang ditetapkan oleh JKDM untuk penjualan arak yang memabukkan secara runcit adalah tertakluk di bawah Seksyen 32 Akta Eksais 1976.

Walau bagaimanapun, seksyen ini memberikan pengecualian lesen jualan runcit minuman beralkohol seperti bir, todi atau arak natif. Penjualan runcit kecil-kecilan bagi arak jenis ini tidak melebihi kuantiti yang ditetapkan dibolehkan di kedai-kedai runcit tanpa keperluan untuk mendapatkan pelesenan di bawah akta ini.

Dengan jelas kemudaratan yang terhasil impak pemandu mabuk yang mengorbankan nyawa tidak bersalah, maka perlunya tindakan awal yang pantas bagi:

(1) Pihak Kastam dan PBT melakukan satu ketetapan yang lebih mengehadkan penjualan arak agar ia hanya dalam konteks non-Muslim serta zon larang arak di tempat umum melainkan hanya dalam kawasan kediaman masing-masing sahaja.

(2) Menggantung lesen penjualan arak dan minuman di premis-premis terbuka dan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

Mengenai operasi pemprosesan kilang arak dan operasi import memerlukan tindakan seterusnya yang lebih tersusun untuk dibuat ketetapan. Dalam Islam, sekalipun non-Muslim ada hak minum arak tetapi ia bukannya lesen untuk:

(1) Wujudnya kilang pemprosesan arak kerana ia sudah menjadi operasi yang melibatkan ekonomi yang besar.

(2) Non-Muslim bebas minum tanpa kawalan di tempat awam atau di luar kediaman yang mengakibatkan risiko pada masyarakat awam.

(3) Kegiatan komersial yang melibatkan arak seperti tajaan iklan dan apa sahaja secara langsung dengannya kerana mencemarkan imej negara dan mengganggu sensitiviti majoriti rakyat kalangan penganut Islam.

Pampasan kepada keluarga mangsa korban

Persoalan yang sama timbul, apa yang keluarga mangsa akan dapat apatah lagi jika yang terkorban itu pula suami atau ayah yang menjadi satu-satunya punca pencarian pendapatan keluarga. Ditambah lagi, jika pasangan mangsa korban hanyalah suri rumah sepenuh masa dan memiliki anak-anak yang masih kecil perlu disara.

Terdapat peruntukan undang-undang khusus mengenai konsep ini ganti rugi atau pampasan kepada mangsa jenayah iaitu di bawah Seksyen 432 Kanun Acara Jenayah di negara ini.

Akta ini membenarkan mahkamah mengeluarkan perintah pampasan kepada mangsa jenayah dengan syarat pesalah disabitkan kesalahan dan permohonan yang jelas dibentangkan di mahkamah mengenai jumlah pampasan dikemukakan mangsa. Sekiranya mangsa meninggal dunia, waris boleh membuat tuntutan ganti rugi.

Peruntukan Seksyen 423 tidak menyatakan tanggungan pesalah termasuk menanggung waris sepanjang hayat.

Apa yang perlu ialah dalam kes mahkamah memerlukan pembuktian ke atas pensabitan kesalahan. Sebelum ini antara yang menjadi cabaran ialah untuk klasifikasikan pemandu dalam keadaan mabuk.

Terdapat dua jenis pembuktian iaitu sama ada pemandu berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang mengakibatkan dia tidak dapat mengawal dirinya ketika memandu atau kandungan alkohol atau dadah dalam darahnya tinggi melebihi tahap dibenarkan undang-undang.

Jadinya pembuktian diperlukan bagi pemanduan dalam keadaan mabuk yang menyebabkan kemalangan dan kematian adalah elemen utama di mahkamah. Jika tidak, maka pesalah tidak dapat disabitkan dan peluang menggunakan peruntukan bagi pampasan juga tidak dapat dilaksanakan.

Oleh itu, tersangat wajar dalam isu minuman beralkohol ini untuk Kerajaan menurunkan ukuran kadar alkohol dan dadah dalam darah pesalah ke kadar yang lebih rendah supaya lebih ramai pemandu mabuk dapat disabitkan di bawah seksyen ini.

Malah dalam Islam, telah diajarkan apabila sesuatu sah arak kerana sifatnya memabukkan maka sedikit atau banyak tetap hukumnya arak. Ini dipanggil pencegahan dari awal yang dinamakan kaedahnya sadd al-zari’ah (سد الذريعة).

Justeru, boleh disyorkan bahawa seseorang itu di bawah pengaruh alkohol tanpa mengira peratus kandungan alkohol yang dalam darah bagi memudahkan proses pembuktian di mahkamah.

Penutup

Insiden korban nyawa disebabkan pemandu mabuk ini bukan hanya melibatkan soal sensitiviti agama akan tetapi ia menjadi satu kemudaratan umum apatah lagi yang sadisnya apabila mangsa korban adalah mereka yang tidak bersalah sedangkan pesalah pula hanya dikenakan yang dilihat ‘ringan’ yang tidak mampu mencegah dari berlakunya insiden yang berulang.

Selain itu, ini masa terbaik buat Kerajaan mengkaji dan mempertimbangkan langkah-langkah untuk lebih ketat penjualan arak, relevansi kilang pemprosesan arak serta aktiviti import berkaitan arak. Sedangkan kita adalah negara yang memperuntukkan Islam agama Persekutuan dan majoriti rakyat pula adalah beragama Islam.

Selain itu, aspek pendidikan mengenai kesedaran dan cakna kemudaratan arak mesti terus diperhebatkan lagi bagi mewujudkan masyarakat yang jijik dengan najis arak ini.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/5/2020

- Advertisement -