Ringkasan Syarah Mawaqif (Bab ketuhanan) – Siri 5

- Advertisement -

KEENAM: Sebahagian golongan terkemudian

Syeikh Idhoduddin al Ijie tidak menyatakan siapakah yang dimaksudkan dengan golongan ini. Syarif al Jurjani mensyarahkan, bahawa golongan ini antaranya seperti Imam Sahrwardi. Golongan ini mengemukakan bukti kewujudan Allah, tanpa membahagikan kewujudan kepada alam dan wajib sepertimana sebelum ini.

Tetapi mereka hanya berdalilkan kepada kewujudan ‘mungkin’ secara mungkin. Iaitu kewujudan makhluk (mungkin) secara hakiki. Contohnya dengan menyatakan bahawa alam ini terbentuk daripada ‘jauhar’ yang bergabung. Maka, jelas menampakkan kewujudan alam yang mungkin.

- Advertisement -

Dalil golongan kontemporari mengenai kewujudan Allah

(1) Alam ini terbentuk daripada gabungan jauhar (atom) yang tidak terbilang. Maka, sudah pasti memerlukan kepada kuasa untuk menggabungkannya.

Tidak mungkin ia tergabung dengan sendiri, kerana alam yang tercipta ini adalah hasil gabungan yang begitu sistematik. Sekiranya ia tergabung dengan sendiri, sudah pasti gabungan tersebut mempunyai kecacatan, sedangkan ciptaan Allah tiada sebarang kecacatan.

(2) Alam ini terlalu banyak makhluk yang ‘mungkin wujud’. Maka setiap makhluk ini memerlukan kepada kuasa untuk mewujudkannya. Sekiranya kita mengatakan kuasa itu adalah Allah, itulah yang kita ingini. Sekiranya kita mengatakan bahawa kuasa tersebut adalah makhluk yang bersifat mungkin, maka akan berlakukan kuasa yang berbilang-bilang, disebabkan banyaknya makhluk.

Maka, akan terhasil empat perkara ini:

(a) Sebahagian makhluk menjadi penyebab kewujudan sebahagian makhluk yang lain.

(b) Penyebab yang mewujudkan itu, dalam masa yang sama dia diwujudkan oleh penyebab yang sama.

(c) Makhluk itu menjadi penyebab kewujudan dirinya sendiri

(d) Makhluk itu menjadi penyebab kewujudan makhluk itu sendiri secara umum.

Kesimpulannya, semuanya adalah mustahil. Ini kerana, setiap makhluk yang bersifat mungkin mestilah bersandar dengan satu kuasa yang bukan makhluk sepertinya. Sekiranya makhluk bersifat mungkin wujud, maka kuasa itu adalah wajib wujud, itulah Allah S.W.T.

Daripada dalil ini, tertolaklah 3 perkara:

(a) Penyebab kewujudan makhluk adalah dirinya sendiri.

(b) Penyebab kewujudan makhluk adalah sebahagian makhluk yang lain.

(c) Penyebab kewujudan makhluk adalah dari kalangan makhluk juga.

Maka, hasil daripada dalil ini:

(a) Makhluk yang ‘mungkin wujud’ bersifat ‘memerlukan’.

(b) Keperluannya itu, bukanlah kepada makhluk sepertinya.

(c) Makhluk yang ‘mungkin wujud’ pastinya bersandar kepada kuasa yang luar daripada konteks makhluk, atau dengan kata lain ‘bukan makhluk’, iaitu Allah.

Kesimpulannya, Allah itu wajib wujud, dan makhluk pasti memerlukan kepadaNya.

Ketujuh: Syeikh Idhoduddin al Ijie

Pengarang Kitab al Mawaqif akhir sekali mengeluarkan dalil tersendiri untuk membuktikan kewujudan Allah S.W.T.

Sebelum mengetahui dalil yang beliau gunakan, 3 perkara umum yang digunakan ialah:

(a) Meletakkan kemungkinan sekiranya kewujudan itu semuanya mungkin.

(b) Meletakkan kemungkinan sekiranya tiada wajib wujud.

(c) Meletakkan kemungkinan tiada satu makhluk pun yang terhasil daripada kuasa yang mewujudkannya (iaitu: sekiranya tiada pencipta, maka sudah pasti tiada hasil ciptaan).

Iaitu sekiranya tiada wajib wujud, maka sudah pasti semua yang wujud ini adalah mungkin. Sudah disebutkan sebelum ini, wujud itu terdapat tiga jenis, wajib wujud, mungkin wujud, dan mustahil wujud. Apabila wajib wujud itu tidak wujud, maka apa yang wujud hanyalah mungkin wujud, kerana mustahil wujud, sudah pasti tidak wujud.

Dalil Syeikh Idhoduddin mengenai kewujudan Allah

Secara umumnya, Syeikh menggunakan dua kaedah utama dalam membuktikan kewujudan Allah S.W.T:

(a) Melihat kepada wajibnya kewujudan wajib wujud, iaitu Allah S.W.T.

(b) Melihat kepada wujudnya Allah S.W.T dengan mengatakan ‘mustahil ketiadaanNya’.

Daripada dua kaedah ini, maka terbentuklah beberapa dalil beliau:

(1) Syeikh menyebut bahawa perkara pertama yang perlu diketahui untuk membuktikan kewujudan Allah, ialah:

Penyebab kewujudan ‘mungkin’ mestilah bukan dari kalangan ‘mungkin’.

Kerana, apabila kita mengiyakan kewujudan wajib wujud, sudah pasti kita akan mengatakan bahawa di sana terdapat ‘sempadan’, iaitu sempadan di antara wajib wujud, dan mungkin wujud. Iaitu ketidaksamaan di antara pencipta, dan makhluk yang dicipta.

(2) Semua ‘mungkin’ sudah pasti tidak dapat lari daripada hilang, atau terhapus. Maka, jelas di sini membuktikan bahawa ia (mungkin wujud itu) tidak wajib wujud. Kerana wajib wujud mesti wujud, dan mustahil wajib wujud itu tidak wujud, disebabkan terhapus, hilang atau mati.

Mana mungkin ‘mungkin wujud’ itu hilang sekiranya ia adalah penyebab kepada kewujudan makhluk (mungkin) yang lain. Maka, sudah pasti di sana terdapat kuasa yang wajib wujud, bukan dari kalangan ‘mungkin wujud’.

Natijahnya, penyebab kewujudan makhluk sudah pasti:

(a) Tidak termasuk (tergolong dalam) ‘mungkin wujud’.

(b) Langsung tiada persamaan dengan ‘mungkin wujud’.

(c) Mempunyai zatNya yang tersendiri, yang tidak sama dengan ‘mungkin wujud’ dan tiada langsung ciri-ciri ‘mungkin wujud’ tersebut.

Kesimpulan daripada 2 dalil sebelum ini ialah wujud itu terbahagi kepada 2 sahaja, iaitu:

(a) Mungkin wujud – telah disahkan bahawa ia memerlukan kepada kuasa yang mewujudkannya.

(b) Wajib wujud – telah disahkan kewujudanNya, tidak memerlukan makhluk, bahkan semua makhluk memerlukanNya.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/5/2020

- Advertisement -