UMMAH mahu polis siasat Xavier segera

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Terengganu bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain, membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH), yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar Arulanandam.

- Advertisement -

Setiausaha Persatuan Rabitah Institusi Pendidikan Islam Terengganu (Rabitah), Ustaz Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, pada 18 Mei lalu kira-kira jam 8.00 malam beliau menonton satu rakaman ucapan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar, berdurasi 2 minit 50 saat.

Menurutnya, ucapan pemimpin Parti KeADILan Rakyat (PKR) yang juga Pakatan Harapan (PH) itu bersifat menghasut dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, katanya tujuan laporan polis dibuat agar pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang jika didapati bersalah.

“Dia (Dr Jayakumar) berucap dalam bahasa Inggeris dengan jelas ‘berniat’ menghina Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) selepas majlis pembukaan Sidang Parlimen 18 Mei lalu.

“Antara kata-kata itu, ‘This Parliament will be rubbish (sampah)’ dan ‘This Parliement sitting is worthless (tidak berguna)’.

“Dari tutur perkataannya itu cuba menghasut rakyat secara halaus untuk menderhaka dan menentang kepada Yang di-Pertuan Agong, selaku pemerintah tertinggi negara Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakah, selepas membuat laporan polis itu jam 10.45 pagi di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuala Terengganu, hari ini.

Setiausaha Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti), Ahmad Sabri Yusof berpendapat, apabila Dr Xavier itu menyebut pembukaan Sidang Parlimen ini adalah ‘sampah’ dan ‘tidak berguna’ secara langsung ditujukan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Katanya, apakah itu bermakna titah baginda (Agong) yang merujuk kepada Tuanku itu juga ‘sampah’ dan ‘tidak berguna’.

“Bukankah ini satu penderhakaan dan menentang Yang di-Pertuan Agong Malaysia secara pelanggaran undang-undang secara halus?

“Saya mendesak supaya pihak berkuasa, sama ada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara, segera mengambil tindak tegas dan menyiasat,” tegasnya.

Menurut Ahmad Sabri, jika menyalahi undang-undang hukuman sewajarnya mengikut undang-undang jenayah yang sedia ada seperti Akta Hasutan dan Subversif Jenayah Terancang, kerana cuba merosakan ketenteraman awam.

Mewakili NGO Sahabat Sejahtera, Ustaz Muhammad Irsyad Syafiq Brihanuddin mahukan, tindakan dan hukuman yang tegas perlu dikenakan kepada pelaku sebagai pengajaran kepada orang lain.

Katanya, tindakan tegas itu untuk mengekang budaya menderhaka kepada Raja daripada terus meracuni pemikiran rakyat serta merosakkan negara ini.

“Saya, hadir ke balai polis ini sebagai mewakili NGO Sahabat Sejahtera bersama rakan-rakan NGO lain untuk membuat laporan polis kepada pemimpin PH dan Ahli Parlimen Kuala Langat itu,” jelasnya.

Tinjauan Harakah mendapati, selain UMMAH Terengganu, juga NGO Ganti, Prihatin Terengganu, Amaturrahman Jaafar, Persatuan Kebajikan Sukarelawan Terengganu, Shahir Harun dan Persatuan Guru-Guru Pondok Pantai Timur, Syed Suhaimi Syed Hassan.

Dr Xavier Jayakumar juga merupakan Naib Presiden PKR, yang menang di Parlimen Kuala Langat dengan majoriti 17,112 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Shahril Sufian Hamdan dan calon PAS, Dato’ Dr Yahya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu.- HARAKAHDAILY 20/5/2020

- Advertisement -