Jangan guna ‘media sendiri’ membuat andaian

- Advertisement -

SEHARI dua ini tersebar pelbagai poster ucapan tahniah. Sebelum Menteri Besar (MB) Kedah ke-14 mengangkat sumpah, banyak poster ucapan tahniah atas lantikan MB tersebar. Sehingga, dalam satu masa ada 3-4 orang MB di Kedah.

Selesai lantikan MB, tersebar pula poster ucapan tahniah atas lantikan Exco, padahal senarai Exco belum pun diumumkan secara rasmi. Kemudian disusuli pula poster ucapan tahniah atas lantikan Speaker DUN Kedah, padahal itu juga tidak pasti.

Agaknya, ada orang yang teruja untuk berkongsi maklumat yang dimilikinya, sayangnya maklumat tersebut tidak tepat. Mungkin juga poster-poster tersebut disebar pihak berkepentingan untuk melihat berlakunya perebutan dan sengaja mahu mencetuskan rasa curiga antara parti di dalam PN.

- Advertisement -

Yang terbaik, kita dapatkan maklumat yang sahih atau tunggu pengumuman rasmi dibuat. Ada lantikan melibatkan Istana, biar pihak Istana yang umumkan. Ada lantikan hanya boleh dibuat di dalam DUN, biar ADUN yang putuskan. Masing-masing ada petak tersendiri, elakkan dari membajak di petak orang lain.

Walau di telapak tangan kita ada media sendiri, jejari pula boleh berperanan sebagai wartawan, namun yang terbaik biarlah kita tulis dan kongsi sesuatu yang pasti, bukan andaian.

Apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong pembentukan Kerajaan PN Kedah. Semoga Allah membantu kita semua.

USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 20/5/2020

- Advertisement -