Qiamullail untuk bertemu Lailatul Qadar

- Advertisement -

DALAM kitab Uqūd al-lu’lu’ Wa Al-Marjan Fi Wazha’if Syahri Ramadhan karya Syeikh Ibrahim bin Abid Aal Abdel Mohsen menyatakan bahawa seseorang yang ingin berqiamullail hendaklah melakukan persiapan ke arah itu sejak daripada siang hari:

- Advertisement -

أن من أراد قيام الليل خصوصا في هذه الليالي العظيمة الشريفة، فلا يكثر الأكل ولا الشرب ولا يتعب أعضاءه في النهار بالكد والعمل وليستعن بالقيلولة وأن يحرص على الإخلاص وإرادة وجه الله راجيا ثوابه خائفا من عقابه

“Barangsiapa yang mahu bangun qiamullail khasnya pada malam-malam kebesaran yang sangat mulia (10 akhir Ramadan), maka janganlah diperbanyakkan makan dan minum. Begitu juga jangan terlalu meletihkan tubuh badan pada siang hari dengan tekanan kerja dan tugasan. Hendaklah usaha bantuan (untuk bangkit malam) dengan tidur sekejap pada tengahari dan sentiasa berusaha agar ikhlaskan diri semata-mata hanya kerana Allah dengan mengharapkan ganjaran daripada-Nya serta gerun akan pembalasan-Nya.”

Kita kini berada di sepuluh akhir Ramadan dan sememangnya perlu memberi tumpuan kepada peningkatan amalan khasnya dalam mendapatkan pahala beribadat malam seribu bulan. Amalan yang sangat dituntut ketika ini ialah qiamullail kerana Nabi S.A.W dan para Salafussoleh tidak pernah meninggalkan qiamullail apatah lagi di bulan Ramadan dan pada malam sepuluh terakhir.

Mengikut amalan para ulamak, seseorang yang ingin bangkit qiamullail, dia hendaklah berniat sejak awal siang hari dengan menguruskan kerja yang ringan sahaja serta dapat mengambil sedikit ruang untuk qailulah. Ketika berbuka, hendaklah berpada dalam mengambil makanan serta minuman dengan mengelakkan memakan makanan yang berat semasa moreh dan sebaiknya ditinggalkan sahaja moreh untuk persiapan tidur sejurus selesai tarawih. Kemudian bangkitlah sekitar jam 2:30 pagi untuk uruskan diri termasuk bersiwak dan memakai wangian.

Mulailah qiamullail dengan solat dua rakaat ringan kemudian jika mempunyai solat fardhu yang pernah tertinggal hendaklah diqadha’ terlebih dahulu sebelum meneruskan sebaik-baiknya lapan rakaat Tahajud dengan diselangi zikir dan doa. Seterusnya berilah masa untuk sahur, dan berhenti sahur untuk menunggu masuknya subuh sekira-kiranya bacaan 50 ayat daripada al-Quran. Amalan sebegini sekiranya dilakukan sepanjang sepuluh akhir Ramadan, insyaAllah dengan izin-Nya, anda dikurniakan bertemu dengan Lailatul Qadar.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 19/5/2020

- Advertisement -