Atlantis: Kuasa Allah S.W.T dan rahsianya

- Advertisement -

MUQADDIMAH

(1) Salah satu kajian yang menarik perhatian saya ialah Sejarah Tamadun Alam Melayu, Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda yang ditulis oleh beberapa orang pengkaji.

Mereka ialah Zaharah Sulaiman, Wan Hashim Wan Teh dan Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman. Antara bab yang menarik perhatian ialah kajian mengenai Atlantis.

(2) Artikel ini bukanlah bertujuan untuk membuat pendedahan mengejut. Bukan juga untuk menimbulkan persoalan siapakah yang mendiami Sunda, adakah manusia atau jin.

Akan tetapi apa yang ingin dikongsikan di sini ialah bagaimana Allah S.W.T itu berkuasa membangunkan sesuatu tamadun, atau meruntuhkannya. Termasuk Atlantis.

- Advertisement -

(3) Antara yang terawal membicarakan mengenai Atlantis ialah Plato (427-347SM) yang merupakan murid kepada Socrates, dalam bukunya Timaeus And Critias.

Setelah sekian lama kisah ini ‘berada di atas angin’ akhirnya pada 1999 ia mula dicetuskan kembali oleh Prof Stephen Oppenheimer di dalam bukunya ‘Eden in The East’.

(4) Sebelum munculnya kajian Oppenheimer, pada 1888 Helena Petrovna Blavatsky dalam bukunya The Secret Doctrine. Dalam masa yang sama, kajian Oppenheimer turut dikritik pada 2007.

Antara pengkritik beliau mengenai kajian Atlantis ini ialah Wim Van Binsbergen dari Belanda yang dibentangkan pada 28 hingga 30 Ogos 2007 dalam Konvensyen Antarabangsa Conparative Mythologi.

Plato menceritakan mengenai Atlantis

(1) Plato dapat dari mana cerita mengenai Atlantis? Dikatakan Plato mendapat cerita ini daripada datuknya Dropides. Dropides pula mendengar cerita Atlantis ini daripada Solon (638-558 SM).

Manakala Solon pula dapat berita ini daripada sejarah-sejarah Mesir kuno. Manakala orang-orang Mesir pula mendakwa ia adalah cerita orang generasi terdahulu mereka yang pernah berniaga dengan orang Sunda.

(2) Dalam sejarah awal kemunculan Falsafah Yunani oleh Seven Seges, memang banyak teori-teori mereka yang diambil daripada Tamadun Mesir Kuno, termasuk dalam riwayat hidup Thales Of Miletus.

Solon dan Thales kedua-duanya merupakan Seven Sages. Kita juga tahu bahawa Mesir dan sekitar Afrika merupakan antara tempat terawal tamadun manusia. Cuma antara yang dibincangkan ialah lokasi sebenar Atlantis.

(3) Plato beranggapan bahawa Atlantis berada di Lautan Atlantik mengadap ‘Pillars of Heracles’. Padat dengan jutaan penduduk, tamadun yang tinggi, elit dan celik huruf.

Manakala Oppenheimer lebih jelas mengatakan bahawa Atlantis itu di Benua Sunda yang telah tenggelam di sekitar kawasan Nusantara. Dari sinilah membiaknya tamadun ke tempat-tempat lain.

(4) Daripada teori Plato ini, Pierre Vidal-Naquet pada 2001 mengatakan bahawa lokasi Atlantis terletak antara Rock Gibraltar dan Gunung Djabel Musa. Namun teori ini ditolak oleh Prof Aryso Santos (2005).

Ahli Falsafah Amerika juga cuba meneliti isyarat lokasi yang dikemukakan oleh Plato. Mereka andaikan ialah kedudukannya di Lautan Atlantik. Namun, kajian mereka tidak menemui apa-apa bekas peninggalan di kawasan tersebut.

Atlantis di Sunda

(1) Kesimpulan perselisihan dalam kajian terhadap Atlantis ialah, sama ada Atlantis itu di Sunda ataupun di belah Barat, iaitu di bahagian Benua Amerika, atau di kawasan Greece Itali dan Sepanyol.

Antara yang mengatakan Atlantis itu di Sunda ialah Oppenheimer dan Santos berdasarkan kajian yang panjang dan penemuan-penemuan bukti arkeologi lebih berpijak.

(2) Antara kajian yang dikemukakan bagaimana kisah ini boleh ‘diriwayatkan’ oleh orang-orang Mesir dalam banyak generasi kerana orang-orang Sunda bertebaran ke seluruh dunia untuk berniaga, termasuk Mesir.

Barang-barang dari Sunda banyak dipakai di Mesir akan diceritakan selepas ini insyaAllah. Yang jelasnya, ialah dahulunya wujud perdagangan peringkat global.

(3) Banjir yang terjadi pada zaman Nabi Nuh, Tsunami Lautan Hindi yang melanda Acheh pada 2004, Taufan Katrina pada 2005, dan Tsunami Tokoshima Jepun pada 2011 turut dijadikan kajian.

Iaitu fenomena-fenomena seperti ini dianggap sebagai bencana yang pernah menimpa Sunda satu ketika dahulu, dan akhirnya menenggelamkan Antlantis (atau separuh Sunda).

(4) Oppenheimer mengatakan bahawa Atlantis itu merupakan pengasas Tamadun Manusia terawal membenihkan tamadun asing hingga ke China, Mesopotamia dan Greece.

Santos pula menyatakan bahawa Atlantis di Benua Sunda, hujahan empirik, lengkap dan mendalam mengenai gunung berapi yang meletus secara domino mengakibatkan gempa dan tsunami raksasa.

Atlantis yang ditenggelamkan

(1) Realiti kewujudan Atlantis menggambarkan suasana ketika itu sering mengalami tsunami dan gempa, yang akhirnya melenyapkan terus Atlantis. Suasana ini sangat mirip dengan geografi Asia Tenggara.

Masyarakatnya dikatakan agak mahir dalam penghasilan ‘perahu’ dan meneroka ke seluruh dunia. Di sinilah dikatakan tersebarnya genetik tersebut ke beberapa buah negara lain.

(2) Joyce Tyldesley pada 1996 mengatakan bahawa orang-orang Mesir kuno, Phoenician Kuno dan Sumerian Kuno meratapi kampung halaman yang terpaksa mereka tinggalkan akibat banjir besar yang dahsyat.

Plato sendiri mengatakan bahawa orang Atlantis menggunakan perahu. Tanah Punt di muara Sungai Nil di Pantai Mediterranean diperintah oleh Raja Perahu yang diambil sempena kemahiran mereka membuat perahu.

(3) Dalam teori perahu yang diperkatakan ini ada kemungkinan bangsa Melayu yang berdagang hingga ke Rome, berhenti di Negeri Punt untuk berdagang ke Mesir membawa barangan Sunda.

Kemungkinan kedua, Bangsa Mesir sampai ke Timur jauh dalam usaha mendapatkan kapur barus yang banyak digunakan oleh raja-raja, wangian daripada gaharu atau jongkong emas.

(4) Di sinilah dikatakan asal-usul bagaimana Bangsa Sunda boleh tersebar ke seluruh dunia. Antara bangsa yang dikatakan mempunyai genetik ini di Indonesia, Malaysia dan Champa.

Termasuk juga Siam, Kemboja, Singapura, Brunei, Madagascar, Samoa, Nauru, Tonga, Filipina, Tuvalu, Kiribati, Belau, Mikronesia, Pulau Cook, Afrika Selatan, New Zealand dan banyak lagi.

Kesimpulan

(1) Dari sudut persamaan, Oppenheimer mengatakan juga bahawa orang Sumeria di Mesopotamia, kemungkinan besar berpunca dari Asia Tenggara kerana terdapat beberapa tanda mirip.

Antaranya budaya bercucuk tanam yang kebiasaannya ada di Asia Tenggara tetapi ditemui di Mesopotamia sekitar 7,500 tahun dahulu, dan ia menjadi bukti.

(2) Para pengkaji menganggap bahawa selain daripada banjir dan tsunami, Sunda dilenyapkan disebabkan letusan gunung berapi yang sememangnya banyak di sekitar Nusantara hari ini.

Gunung-gunung berapi yang meletus ini menyebabkan pemanasan global, seterusnya menamatkan zaman ais. Ini juga antara faktor mengapa paras air naik, dan menenggelamkan Atlantis.

(3) Perbahasan mengenai Atlantis yang telah hilang masih menjadi persoalan dan misteri. Apa yang saya kongsikan dipetik daripada kajian yang dikemukakan di dalam buku ini, Asal Usul Melayu Induknya Di Benua Sunda.

Walau bagaimanapun kesimpulannya, kita meyakini bahawa Nabi Adam A.S itu adalah manusia pertama, dan pasangannya adalah Hawwa. Keturunan manusia tersebar bermula dari sini.

(4) Yang menjadi perselisihan ialah, secara spesifiknya Nabi Adam A.S turun di mana dan tamadun manusia terawal bermula dari mana? Begitu juga daripada Nabi Adam A.S hingga wujudnya masyarakat Sunda.

Kajian yang banyak ini hakikatnya menampakkan bahawa teori Darwin itu semakin malap. Apatah lagi teorinya ditolak sendiri oleh sarjana-sarjana Barat antaranya Dr. Stephen Meyer (2009).

Ibrah pengajaran

(1) Dalam kajian mengenai Atlantis, kita bukanlah mendabik dada bahawa orang Melayu bangsa terawal yang hidup. Akan tetapi kita dapat ‘syncronize’ dengan sejarah-sejarah para Nabi.

Antaranya sejarah awal manusia daripada Nabi Adam A.S dan kemudiannya generasi yang disebarkan oleh keturunan Nabi Nuh A.S iaitu Sam, Ham dan Yafith selepas banjir besar.

(2) Banyak lagi kajian yang perlu didalami, yang tidak hanya terfokus kepada penemuan saintifik. Sebab itulah Allah S.W.T kurniakan akal untuk kita berfikir dan mengkaji.

Bahkan di kalangan ahli Falsafah Yunani terdahulu sudah hangat membincangkan mengenai asal-usul manusia. Manakala teori Darwin ini baru sahaja muncul era 18-an.

(3) Sejarah Sunda hakikatnya menzahirkan kepada kita bahawa di sana masih banyak rahsia-rahsia Allah S.W.T yang kita tidak ketahui. Umur manusia yang pendek tak mungkin boleh tahu dengan jelas sejarah yang panjang.

Tetapi manusia dikurniakan akal untuk berfikir dan mengkaji, bukannya untuk menentang Allah S.W.T, sebaliknya merasa kerdil dengan kekuasaan-Nya yang membangunkan tamadun atau meruntuhkannya;

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ مِن قَبْلِكُمْ لَمَّا ظَلَمُوا ۙ وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ وَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ

“Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.”

(Yunus: 13)

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 7/5/2020

- Advertisement -