Cyberwar: Siapa di sebalik istilah ‘Netizen’

- Advertisement -

PERLU berhati-hati

(1) Antara yang perlu risaukan hari ini ialah wujudnya ‘alat’ yang digunakan untuk mempermainkan emosi rakyat Malaysia. Contohnya page-page yang tak dikenali yang timbul bagai cendawan.

Page atas nama netizen, tentera bawang, troll atau seumpama dengannya yang tidak dikenali siapa penggerak di belakangnya. Berfungsi menarik emosi masyarakat untuk di’weaponize’kan.

(2) Walaupun kita melihat ia dari sudut ‘rakyat bersuara’, soalannya siapakah yang bersuara itu? Adakah benar-benar rakyat Malaysia atau ada ejen asing di belakangnya? Kita kadangkala tidak terfikir hal ini.

Dalam hal ini kita perlu mengkaji sejarah beberapa kebangkitan (protest) yang bermula daripada facebook atau media sosial, yang membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk bersuara.

- Advertisement -

(3) Tidak salah untuk bersuara, yang menjadi tanda tanya ialah kebimbangan ia didalangi oleh agenda-agenda tertentu untuk mewujudkan fenomena. Kalau kebangkitan itu betul, baguslah. Bimbang ia adalah sebaliknya.

Kalau guna facebook, boleh keluarkan duit untuk run FB ads, untuk meluaskan capaian sampai ratusan ribu. Jadi, dengan satu klik, propaganda boleh masuk ke setiap ceruk bumi Malaysia.

(4) Cuba teliti bagaimana Arab Spring 2011 boleh muncul. Ia bermula dengan facebook. Hancur hampir keseluruhan negara Arab. Siapa yang seronok? Amerika. Untuk menguasai negara-negara Arab.

Perbincangan mengenai Cyberwar ini pernah saya tulis dalam artikel lalu [1], menggambarkan projek ‘people swarming’ yang dikesan digunakan dalam banyak revolusi.

Propaganda ke arah Cyberwar

(1) Selepas Perang Dingin Amerika VS Soviet, RAND Corporation pada 1993, telah menerbitkan kajian yang bertajuk ‘Cyberwar Is Coming’ yang disediakan oleh John Arquilla and David Ronfeldt.

Kajian ini menjelaskan bahawa peperangan bukan lagi pertarungan siapa yang meletakkan modal paling tinggi, pekerja buruh paling ramai dan teknologi paling hebat di medan perang.

Akan tetapi peperangan itu ialah siapa yang mempunyai maklumat terbaik dan dapat menggunakannya secara berfaedah. Bahasa mudahnya, cyberwar itu adalah perang yang efisyen.

(2) Di Iraq, propaganda Barat antara 2003-2011 berjaya membakar sentimen Syiah sehingga Saddam Hussein dijatuhkan hukuman oleh rakyatnya sendiri atas sebab dendam terhadap jenayah beliau sebelum itu.

Akhirnya beliau dibunuh oleh rakyat sendiri, dan berakhirlah perang Amerika VS Iraq. Yang untung ialah Amerika. Berjaya membakar sentimen orang Iraq, lebih efisyen berbanding hantar askar ke sana.

(3) Pada 2012, Leon Panetta, sekretariat pertahanan Amerika Syarikat, memberi ucapan, memberi amaran bahawa Amerika Syarikat sedang menghadapi kemungkinan ‘Pearl Harbor cyber’.

Mesejnya adalah bahawa Amerika Syarikat semakin terdedah kepada serangan siber asing yang boleh dibongkar atau dipelopori oleh sesiapa sahaja termasuk pesaing Amerika.

Konsep ini sangat jelas menggunakan konsep ‘menyeru masyarakat untuk menghurung bandar untuk menyatakan tidak puas hati’ atau lebih dikenali dengan ‘people swarming’.

Kebangkitan Arab mangsa propaganda Cyberwar

(1) Kebangkitan Arab Spring 2011 antara yang terawal di Syria. Kerajaan Syria menubuhkan Syrian Electronic Army yang berpihak kepada Kerajaan untuk menghadapi propaganda maya yang tidak diketahui siapa dalangnya.

Antara yang dikaitkan dengan kegiatan ini juga di Mesir ialah حركة الشباب ٦ إبريل yang ditubuhkan pada 2008 yang tidak diketahui siapa dalang di sebalik mereka. Yang pastinya Ikhwan Muslimin dijadikan mangsa.

Mereka menggunakan slogan We Are All Khaled Saed. Kajian The New York Times mengatakan pada Januari 2009 keanggotaannya seramai 70,000. Tak tahu mana satu di pihak yang benar.

(2) Sama juga di negara-negara lain seperti Tunisia, Libya dan Yaman sekalipun dianggap sebagai negara yang internet tak cukup kuat. Hal ini diutarakan oleh pengkaji Barat sendiri.

Antaranya buku The Role For Communication In The Arab Spring yang diterbitkan pada Mei 2011 mengatakan negara-negara yang kurang internet biasanya menggunakan sebaran klip video seperti Youtube.

Kita perlu sedar, Libya, Sudan dan sebagainya, kekayaan hasil bumi mereka diintai sejak sekian lama oleh Amerika. Sengaja dicetuskan propaganda penentangan terhadap pimpinan mereka.

(3) Sehingga hari ini, Libya, Syria sudah ranap. Sudan sudah beralih angin menyokong Israel. Revolusi Sudan saya sudah huraikan sebelum ini [2]. Negara-negara yang sejak sekian lama menjadi rakan Amerika tidak dikacau.

Yaman dan Somalia dipropagandakan bagi membuka peluang penguasaan Barat terhadap Tanduk Afrika. Mesir yang dimenangi oleh Morsi dipropagandakan sehingga Morsi digulingkan.

Orang muda yang gelojoh

(1) Permainan ini sedang berjalan sejak kebelakangan ini, khususnya pada akhir 2019. Antara yang dapat kita lihat ialah orang-orang Hong Kong mula menghurung bandar mereka sehingga diisytihar darurat.

Dalam situasi Hong Kong, isu ini menghangat pada April 2019, dan pada akhir tahun tersebut baru dapat dihidu permainan cyberwar yang mencetuskan perhimpunan di bandar itu.

(a) Ms Carla Stea, penganalisis geopolitik di Global Research, juga menyatakan penglibatan media Amerika dan Eropah menyokong ketidakstabilan Kerajaan di Hong Kong.

(b) Penyelidik Kanan Xing Guangcheng dari Akademi Sains Sosial Cina berkata bahawa revolusi warna yang pernah terjadi di negara-negara Eropah Timur tiada yang menampakkan sesuatu yang positif.

(c) Masing-masing merasakan kewujudan Amerika dalam mencatur huru-hara di Hong Kong. Seolah-olah mirip dengan Arab Spring 2011 dan revolusi di seluruh dunia yang dikenali sebagai global protest.

(2) Di sini kita perlu memahami bahawa rata-rata, global protest yang terjadi seluruh dunia banyak digerakkan oleh anak muda. Emosi yang mudah dikontrol oleh media sosial.

Apatah lagi anak muda lebih terdedah dengan dunia media sosial. Sering terpesona dengan posting-posting yang mencabar dan lasak. Berani mempertikai apatah lagi bersuara. Apabila disuruh share, terus share tanpa usul periksa.

(3) Cuba lihat, sudah berapa banyak ‘challenge’ yang diperagakan di media sosial. Cabaran-cabaran ini menarik minat anak muda untuk menyahut cabaran cabaran bodoh.

Siapa di sebalik ‘Netizen’?

(1) Apa yang terjadi di peringkat global hari ini kita patut sedar bagaimana tentera-tentera siber ini berperanan mencipta propaganda dan isu. Antara yang boleh men‘swarm’kan manusia melalui cetusan di page FB.

Page-page ini biasanya akan menggunakan istilah-istilah yang menarik minat, contohnya netizen. Sesiapa sahaja yang merasa diri itu netizen, akan tertarik untuk menjadi alat sebaran page itu.

(2) Contoh yang wajar dikaji dan waspada, masa ada orang tak puas hati dengan PM kita dilantik, ‘netizen’ mentroll seorang perempuan berbaju putih ‘siapa Muhyiddin, aku tak kenal dia’. Lalu ramai yang tertarik dengan page ini.

Apabila ramai yang like page tersebut dengan tarikan istilah netizen, ia akan membuka peluang kepada ‘orang di sebalik page itu’ untuk menguasai minda peminat tegarnya.

(3) Apa yang dibimbangi ialah kewujudan page-page ini bakal menjadi suara yang mencorak minda dan persepsi masyarakat khususnya di Malaysia. Contohnya dalam memberi respons.

Kalau dahulu, yang lantang bersuara ialah orang parti Kerajaan atau parti pembangkang. Hari ini yang bersuara adalah orang-orang atas pagar. Seolah-olah diheret sama ke dalam kancah pertikaian yang semberono.

(4) Antara bahaya yang perlu difikirkan ialah, seruan untuk boikot, seruan untuk bersama, dan sewaktu dengannya, lebih kepada sentimen. Kadang-kadang ia hanya permainan untuk melariskan produk.

Bimbang juga masyarakat diswarmkan untuk berbalah isu-isu khilafiah yang mengheret kepada sektarian mazhab. Bahasa mudahnya, mode dan emosi masyarakat sedang dikontrol oleh sesuatu yang tak dikenali.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3145010568874015/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 4/5/2020

- Advertisement -