Mengenali barisan kepimpinan PAS dalam kabinet

- Advertisement -

SUAPAN nasi saya terganggu kali ini walaupun telah berjaya menghabiskan satu pinggan nasi putih dengan berlauk sup asam perut muda, diet saya agak terganggu minggu ini akibat euforia kegembiraan rakyat akibat kejatuhan kerajaan PH.

- Advertisement -

Mood makan terbantut seketika apabila sambil makan menatap telefon pintar yang menayangkan rakaman bual bicara wartawan Astro dengan seorang penganalis politik. Soalan yang membayangkan betapa sarat prejudis , salah jangka dan merendahkan wibawa PAS seolah gerakan kampungan yang tidak mempunyai pemimpin yang pakej kompetensi.

Cuma rawan jiwa saya akan terubat dengan jawaban penganalis yang menghuraikan pengalaman PAS serta gerakan politik yang muncul sebelum merdeka ini juga mempunyai ramai profesional dan teknokrat.

PAS kerap dilabel sebagai parti lebai kampungan ,jumud, anti sosial dan kami tidak pernah berkecil hati dengan gelaran tersebut malah merasa bangga menggalang gelaran “lebai ” kerana kelompok inilah yang paling merakyat dalam hirarki sosial orang Melayu.

Semenjak dekad transisi kepimpinan ulama ,PAS adalah parti yang paling ramai menerima dokongan anak muda yang berlatarbelakangkan bidang profesional.

Jika pembaca rajin membaca dan mengkaji latarbelakang pimpinan PAS diperingkat Pusat,Dewan-Dewan sayap parti maka omongan PAS adalah parti lebai kampungan adalah meleset sama sekali.

Tak kenal maka tak cinta!, maka kenalilah barisan kepimpinan PAS maka kalian akan jatuh cinta pandang pertama.

Dato Takiyuddin Hasan, Ahli Parlimen Kota Bharu adalah anak jati Kedah yang bermukim di Kelantan. Anak Saudara Dato Dr Abdul Hamid Othman ini adalah alumni Kolej Islam Kelang, seterusnya melanjutkan pendidikan tinggi di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Dato Taki adalah pimpinan pelajar dikampus paling tua negara ini serta pernah menjadi Majistret Kota Bharu dan juga Majistret Pasir Mas.

Beliau sebelum mengasah nama diperingkat kepimpinan Pusat,adalah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, ADUN Bunut Payong, YDP PAS Kota Bharu dan lain-lain jawatan didalam parti.

Minat mendalam dalam bidang bolasepak juga telah meletakkan Dato Taki sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia. Latarbelakang pendidikan dan kerjaya beliau memang sesuai menggalang jawatan sebagai Menteri JPM dibahagian Parlimen dan Undang-Undang.

Dr Khairuddin at-Takiri pula bekas pensyarah UKM dan UIA yang mendapat ijazah MA daripada Universiti Jordan serta mempunyai doktorat daripada UKM.

Ramai pula yang cuba meremehkan Dato Dr Khairuddin apabila menjawat jawatan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi . Beliau adalah usahawan semenjak zaman muda, mencipta nama dalam industri kosmetik, pendidikan, penerbitan, pariwisata dan lain-lain projek perekonomian.

Beberapa anak syarikat kerajaan Terengganu dibawah pengoperasian beliau telah mencatat keuntungan yang besar pada tahun 2019. Anak jati Terengganu ini juga memimpin Lujnah Ekonomi PAS dan mengusahakan projek pasaraya wakaf di Dungun Terengganu.

Timbalan Presiden PAS yang diamanahkan menjawat jawatan Menteri di Kementerian Alam Sekitar pula adalah mantan pensyarah kanan UITM.

Beliau mendapat ijazah Sarjana Muda dan Kesarjanaan ( MA ) Dakwah daripada UKM, sebelum menyambung ijazah PhD dipanggil bertanding di DUN Jengka. Dato Tuan Ibrahim menjadi ADUN Jengka pada tahun 1999 sehingga 2004.

Dato Tuan Ibrahim yang juga anak saudara Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga adalah motivator, penulis dan pendakwah tersohor.

Wajahnya sering muncul dikaca televisyen dalam dekad 1990an, pernah menjadi guru agama kepada Yang DiPertuan Agong hari ini serta pernah menjadi Pengerusi Pusat Zakat Pahang.

Beliau telah memenangi Parlimen Kubang Kerian dalam Pilihanraya ke 14 dan menjadi Timbalan Presiden PAS semenjak 2015.

Barisan Kabinet kepimpinan PAS yang dipilih oleh TSMY ini adalah gambaran masa depan PAS, mereka akan merencanakan rentak dan orientasi perjuangan Islam dengan dipantau oleh Presiden PAS.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Dan Keluarga , Dato Hajjah Siti Zailah Yusuf, wanita besi daripada Kelantan pula adalah mantan Ketua Dewan Muslimah PAS Pusat. Ahli Parlimen Rantau Panjang ini adalah graduan UITM dan juga menekuni ilmu agama di Pondok Pasir Tumbuh .

Kak Lah adalah lambang dedikasi pejuang muslimah PAS , sosok tubuh serikandi sering kelihatan menyantuni masyarakat jembel dan yang ditimpa musibah.Pernah menjadi Ahli Dewan Negara serta menjadi Ahli Parlimen semenjak tahun 2013.

AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pendang, Haji Awang Solahuddin memiliki MBA daripada kampus USM. Anak jati Kedah ini adalah mantan aktivis Dewan Pemuda dan pakar pilihanraya dalam PAS.

Beliau akan berkhidmat di Kementerian Sumber Manusia ,bersesuaian dengan latar kerjaya Haji Awang yang meruapakan Eksekutif kanan Bank, Ketua Pegawai Kewangan GLC dan lain-lain pengalaman kerjaya dan berorganisasi.

Ustaz Ahmad Marzuk Shaary adalah lulusan kampus Jordan ,mendapat MA dalam bidang hadith dan juga calon Doktorat daripada Universiti Malaya.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa ini juga adalah mantan Pegawai Agama Hospital USM Kubang Kerian. Anak kelahiran Bachok ini adalah bekas aktivis pemuda PAS , juga penceramah dan aktivis NGO. Beliau akan berkhidmat di JPM bahagian Agama bersama Dr Zulkifli al Bakri.

Haji Amzad Hashim,Ahli Parlimen Kuala Terengganu adalah alumni SESMA Terengganu. Bergraduat daripada UKM dalam bidang Perakaunan serta mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Memimpin pelbagai NGO serta gerakan swadaya di negeri Terengganu sehingga berjaya memenangi konstitusi Kuala Terengganu dalam PRU 14. Beliau akan berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Dato’ Che Lah atau nama penuhnya Che Abdullah Mat Nawi adalah anak Kelantan yang genius semenjak di SIC Kota Bharu. Mendapat pendidikan tinggi di UITM,seterusnya ijazah Perakauanan dan MBA di kampus Amerika Syarikat .

Beliau menggangotai pertubuhan pelajar Islam ISNA serta menjadi pemimpin utama gerakan pelajar Islam MISNA. Menjadi Exco Kerajaan negeri Kelantan semenjak 2008 sehingga tahun 2018. Dalam PRU 14, Dato’Che Lah telah memenangi Parlimen Tumpat Kelantan dan beliau akan berpencak di Kementerian Pertanian.

PAS adalah pemain utama politik negara ini dengan menelusi sejarah panjang 69 tahun meredah belantara perjuangan, pernah menjadi regu kerajaan Persekutuan dalam dekad 1970an.

Memimpin kerajaan negeri , termasuk Kelantan,Terengganu , Kedah dan pernah menjadi sebahagian regu pemuafakatan kerajaan di Selangor dan Perak . Berdepan dengan kelompok sekular pragmatis, kelompok sosialis, liberal demokrat dan juga pembenci-pembenci yang tidak akan berhenti menghadang perjalanan panjang ini.

Sepanjang krisis dua minggu ini juga ,harakatul ummah ini paling terbeban dengan kejian dan seranah avatar PH bahkan pemimpin PH seolah PAS yang menggerak dan mendominasi kerajaan Malaysia Sejahtera.

Tiada istilah kerajaan pintu belakang, segalanya kerana ketololan kalian yang menyebabkan kerajaan pasca 9 Mei 2018 runtuh sekelip mata tak bernesan. Kalian berantakan, berintriq dan berpolemik ,saling menjatuhkan dan ” membakar rumah” .

Tiada lagi pintu, maka PAS bersama Perikatan Nasional membina semula negara ini agar berada pada landasan yang betul.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Penulis ialah AJK PAS Pusat, pendakwah dan Perunding Motivasi

HARAKAHDAILY 11/3/2020

- Advertisement -