Kerjasama PAS-MIC seperti satu keluarga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan kerjasama antara PAS dan MIC seperti sebuah keluarga yang bersatu atas dasar satu titik persamaan walaupun berbeza kaum.

- Advertisement -

Katanya, satu bangsa tidak boleh hanya hidup bersendirian dan mementingkan kaumnya sahaja sebaliknya menekankan perlu hidup saling tolong-menolong di bawah satu titik persamaan dan meraikan perbezaan.

“Islam walaupun satu agama, di dalamnya adalah cara hidup yang perlu dihormati dan dipertahankan bahawa manusia pelbagai bangsa ini adalah satu keluarga di dunia yang besar.

“Kita saksikan di sini dengan teknologi baru, dunia yang besar sudah menjadi sempit tidak macam zaman dulu lagi.

“Sepatutnya kita satu keluarga, sebagaimana seorang diri tidak boleh hidup sendirian, mesti tolong-menolong, begitulah satu bangsa dalam dunia ini tidak boleh hidup dengan bangsanya sahaja, mesti bertolongan antara satu sama lain,” katanya.

Ujarnya lagi, kebersamaan PAS, MIC dan Umno bukan perkara baharu, ketiga-tiga parti ini pernah bersama atas dasar titik persamaan suatu masa dahulu untuk menentang penjajah.

Ekoran kaum India, Cina dan Melayu telah diperhambakan oleh penjajah, katanya Islam yang mengajar pemimpin Islam sebagai satu keluaga telah membawa kepada perbincangan antara tiga kaum ini untuk bersama menentang penjajah.

“Kita sama-sama menuntut kemerdekaan. Ketika pilihan raya yang pertama, parti yang bertanding ialah Perikatan, Umno, MIC, MCA dan PAS. PAS satu-satu parti pembangkang yang menang, satu kerusi sahaja.

“Yang lain parti Perikatan gabungan Umno, MCA dan MIC. Walaupun kita pembangkang tetapi sama-sama kita menuntut kemerdekaan.

“Kerjasama menuntut kemerdekaan antara parti Perikatan dengan PAS ketika itu membuka lembaran baru kepada negara apabila satu memorandum Suruhanjaya Reid dikemukakan kepada penjajah sebagai menuntut menggubal perlembagaan negara,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berucap demikian ketika mengadakan kunjungan Muafakat PAS ke Ibu Pejabat MIC di sini hari ini.

Kunjungan julung kalinya itu sebagai manifestasi mengesahkan PAS secara rasmi bekerjasama dengan parti MIC dalam pelbagai aspek demi kepentingan rakyat di negara ini.

Rombongan beliau disertai Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), N. Balasubramaniam dan beberapa lagi pimpinan tertinggi PAS Pusat telah disambut mesra oleh Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, timbalannya, Datuk Seri M Saravanan dan barisan pimpinan tertinggi MIC. – HARAKAHDAILY 28/3/2019

- Advertisement -