Sungai di Bayan Lepas teruk tercemar

- Advertisement -

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Keluang dan Sungai Nipah dekat Bayan Lepas yang serius berlaku ketika ini.

- Advertisement -

Kejadian yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu bukan sahaja menyebabkan air kedua-dua sungai berkenaan menjadi hitam pekat dan berlumpur tetapi juga kelihatan kotor serta jijik di samping menimbulkan bau busuk yang meloyakan.

Masalah ini berlaku berpunca dari pembuangan sisa dari kilang industri, kediaman penduduk, premis perniagaan, bengkel, najis binatang dan najis manusia. Berikutan itu kedua-dua sungai tersebut mati di bahagian hilir tanpa terdapat apa-apa spesies hidupan di dalamnya.

Tinjauan CAP mendapati air sungai berkenaan berminyak serta berlumpur dan di permukaannya dipenuhi sampah sarap serta berbagai bahan buangan yang mendap di dalamnya. CAP terperanjat kerana terdapat penduduk yang tinggal di kawasan jeti nelayan Sungai Keluang membina tandas dan membuang najis ke dalam sungai tersebut.

CAP percaya dan bimbang jika keadaan ini dibiarkan ancaman pencemaran ke atas sungai-sungai tersebut akan berlaku dengan lebih buruk lagi pada masa depan dan boleh menjejaskan kesihatan orang ramai dan mengancam hidupan marin di laut berhampiran.

CAP juga menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan dan membuat pemantauan yang kerap bagi memastikan pengusaha kilang industri mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, manakala orang awam pula tidak membuang sisa kotoran dan najis ke dalam sungai dengan sewenang-wenangnya.

CAP kesal dengan kejadian ini dan berharap kerajaan Pulau Pinang, PBT, jabatan serta agensi yang terlibat memainkan peranan lebih berkesan termasuk menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan tegas supaya sungai-sungai di negeri ini selamat dari sebarang bentuk pencemaran di masa akan datang.

SM MOHAMED IDRIS
Presiden CAP

- Advertisement -