
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memastikan pindaan RUU Suruhanjaya Persaingan 2026 yang memberi kuasa lebih luas kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) disertakan dengan mekanisme akauntabiliti, ketelusan dan semak imbang jelas.
Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, kuasa mengenakan penalti kewangan, caj pembayaran lewat serta mewakilkan fungsi dan kuasa kepada pegawai suruhanjaya perlu dilaksanakan secara telus bagi mengelakkan penyalahgunaan.
Merujuk Fasal 9, beliau berkata pindaan yang memasukkan peruntukan baharu bagi membolehkan suruhanjaya mengenakan penalti kewangan dan caj pembayaran lewat bertujuan meningkatkan pematuhan serta mengelakkan syarikat memandang ringan keputusan suruhanjaya.
“Namun saya ingin membangkitkan tiga persoalan penting iaitu adakah kadar penalti dan caj pembayaran lewat akan ditentukan secara telus, apakah mekanisme semak dan imbang bagi memastikan kadar tersebut munasabah dan konsisten?
“Serta sama ada kerajaan akan menetapkan garis panduan yang diterbitkan kepada orang ramai,” katanya ketika membahaskan RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, tanpa garis panduan yang jelas akan timbul persepsi berlaku ketidakseragaman dalam penguatkuasaan, di samping mempersoalkan bentuk perlindungan akan diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Saya tidak mahu syarikat besar mampu menanggung penalti sebagai kos perniagaan, manakala PMKS pula lumpuh dan gulung tikar akibat penalti yang terlalu berat,” ujarnya.
Menyentuh pindaan berkaitan kuasa mengenakan fi, caj pentadbiran atau apa-apa caj lain, beliau berkata frasa tersebut terlalu umum dan perlu diperjelaskan supaya tidak membuka ruang kepada pelbagai bentuk caj tanpa kawalan yang mencukupi.
“Saya ingin menegaskan bahawa tujuan pindaan ini bukan untuk menjadikan suruhanjaya sebagai agensi yang bergantung kepada kutipan fi dan penalti semata-mata bagi menampung operasinya.
“Fungsi utama suruhanjaya ialah menguatkuasakan undang-undang secara adil, bukannya memaksimumkan hasil kutipan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan semua kadar penalti, caj pembayaran lewat dan fi diterbitkan secara terbuka, sebarang pindaan kadar dibuat melalui peraturan yang tertakluk kepada penelitian Parlimen.
Syor Dr Abd Ghani, laporan tahunan mengenai kutipan penalti diterbitkan serta garis panduan khusus perlu disediakan bagi melindungi PMKS.
Mengulas Fasal 10 yang memperkenalkan Seksyen 17A mengenai kuasa mewakilkan fungsi dan kuasa suruhanjaya, beliau berkata, langkah itu mampu mempercepatkan pentadbiran dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kuasa melibatkan keputusan dasar, pengenaan penalti besar atau keputusan yang memberi kesan ketara kepada sesuatu pihak sewajarnya kekal diputuskan oleh suruhanjaya dan tidak diserahkan kepada pegawai bawahan.
“Persoalannya ialah bagaimana pematuhan terhadap syarat dan arahan suruhanjaya dipantau. Adakah terdapat audit dalaman atau semakan berkala bagi memastikan kuasa yang diwakilkan tidak disalahgunakan,” soalnya.
Beliau berkata, suruhanjaya juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab sekiranya berlaku kesilapan, penyalahgunaan kuasa atau kecuaian oleh pegawai yang menerima perwakilan kerana segala tindakan tetap dibuat atas nama suruhanjaya. – HARAKAHDAILY 6/7/2026











