Jangan biarkan rakyat jadi penyewa sepanjang hayat

Rumah mampu milik perlu diukur berdasarkan pendapatan, bukan harga semata-mata

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memastikan dasar perumahan negara memberi keutamaan kepada peningkatan kadar pemilikan rumah, khususnya dalam kalangan golongan muda, keluarga baharu dan kumpulan berpendapatan rendah.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata, tumpuan perlu diberikan kepada keperluan rakyat Malaysia dan bukannya keperluan warga asing.

- Advertisement -

Beliau menegaskan, rumah mampu milik tidak ditentukan oleh harga rumah semata-mata, sebaliknya berdasarkan kemampuan rakyat untuk membelinya.

“Setiap keluarga Malaysia berhak memiliki rumah sendiri, bukan sekadar menyewa sepanjang hayat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan terdapat cadangan daripada seorang pakar supaya menggantikan definisi rumah mampu milik yang berpaksikan had harga seperti RM300,000 kepada model yang mengambil kira pendapatan isi rumah.

Menurut Iskandar, REACH menyambut baik cadangan itu kerana kemampuan memiliki rumah tidak boleh dinilai melalui harga semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira tahap pendapatan, lokasi dan kos sara hidup yang berbeza.

Beliau berhujah bahawa ramai keluarga berpendapatan rendah masih tidak mampu membeli rumah berharga RM300,000 kerana bukan sahaja berdepan kesukaran membayar ansuran bulanan, malah sering gagal mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

“Jika pinjaman tidak dapat diperoleh, rumah tersebut tidak boleh dianggap mampu milik. Justeru, ukuran sebenar rumah mampu milik ialah sama ada sesebuah keluarga mampu mendapatkan pembiayaan dan membayar ansuran tanpa menjejaskan keperluan asas kehidupan mereka,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, kerajaan perlu tampil dengan penyelesaian yang lebih kreatif dan inklusif bagi membantu rakyat memiliki rumah.

Antara cadangan dikemukakan beliau ialah, memperluaskan skim Rent-To-Own (Sewa Untuk Milik) bagi membantu keluarga yang mampu membayar ansuran bulanan tetapi tidak memenuhi syarat pinjaman perumahan.

Beliau yang juga mantan Exco Negeri Selangor (Infrastruktur dan Kemudahan Awam) mengingatkan bahawa, skim sama pernah dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bagi tempoh 2008 hingga 2018.

Dalam pada itu, REACH tegas beliau tidak mahu melihat satu generasi rakyat Malaysia menjadi ‘penyewa sepanjang hayat’.

Beliau mengingatkan, kerajaan suatu ketika dahulu berjaya menyediakan rumah kos rendah sekitar RM42,000 dan rumah kos sederhana sekitar RM100,000.

Bagaimanapun, menurut beliau, harga rumah paling murah di banyak kawasan bandar kini meningkat kepada antara RM250,000 hingga RM300,000, sedangkan pendapatan rakyat tidak berkembang pada kadar yang sama.

Mengulas isu lambakan rumah tidak terjual, beliau menegaskan kegagalan pemaju menjual rumah tidak semestinya berpunca daripada harga.

Sebaliknya, ujar beliau, faktor lokasi, akses kepada pusat pekerjaan, sekolah dan kemudahan awam turut menentukan sama ada sesuatu projek mendapat sambutan atau sebaliknya.

“Rumah yang murah tetapi jauh daripada tempat kerja dan kemudahan asas tetap membebankan keluarga kerana kos pengangkutan yang tinggi. Pemaju tidak boleh menyalahkan sesiapa di atas kegagalan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2026

- Advertisement -