‘Jangan kenal PAS melalui lidah jahat musuhnya!’

Roslan Shahir Mohd Shahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat bukan Melayu terhadap PAS, dilihat semakin rancak menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) apabila parti itu dijangka terus mencatat peningkatan prestasi.

Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir menjelaskan, gelombang sokongan pengundi Melayu pada PRU15 lalu digelar sesetengah penganalisis sebagai ‘Greenwave’.

- Advertisement -

Gelombang itu menurutnya, bukan sahaja tidak merosot, malah dijangka terus meningkat pada pilihan raya akan datang, khususnya terhadap PAS atas beberapa faktor.

“Lantas tercetus kebimbangan di kalangan penentang PAS bahawa dalam keadaan ‘tsunami Melayu’ ini, jika pengundi bukan Melayu protes atau enggan keluar mengundi, PAS akan muncul sebagai pemenang terbesar.

“Lalu mereka terpanggil untuk memburukkan PAS demi menggagalkan kebangkitan parti berkenaan,” katanya menerusi media sosial miliknya.

Mengulas pandangan bekas Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek, beliau menjelaskan bahawa, kenyataan yang menyebut PAS boleh muncul sebagai blok politik terbesar dan berpeluang memimpin negara turut dipersetujui Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin, yang turut menyuarakan kebimbangan sama.

“Mereka tidak sedar yang gelombang pengundi Melayu akan bangkit menolak kerajaan PH kerana tindak-tanduk DAP dalam kerajaan yang ekstrem dan membangkitkan ketidakpuasan hati rakyat Melayu dan Bumiputera.

“DAP yang dominan dalam kerajaan hari ini ghairah mendesak agar tuntutan perjuangan politik mereka dilaksanakan. Inilah yang sebenarnya membangkitkan pergeseran dan mencetuskan ketidakstabilan hubungan antara kaum.

“Tindak tanduk DAP ini malah turut timbulkan ketidakselesaan juga di kalangan sesetangan rakyat bukan Melayu dan inilah yang mendorong ramai untuk menghukum kerajaan yang didominasi DAP ini.

“Lalu dijadikanlah PAS ‘kambing hitam’ sedangkan ramai tahu PAS tidaklah sebagaimana yang mereka gambarkan itu,” ulas beliau.

Menurutnya lagi, rakyat mahukan sebuah negara yang stabil serta dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum dalam suasana aman dan sejahtera, berteraskan semangat muhibbah serta sikap saling menghormati.

“Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa, tiada penindasan. Pemimpinnya semua bermoral, beintegriti, prihatin rakyat, tidak menipu atau memberi janji palsu. Rakyat mahukan perubahan.

“Umat Melayu yakin PAS mampu, masyarakat bukan Melayu yang terbuka dan bijak sewajarnya mendengar berkenaan PAS dan mengenalinya bukan melalui lidah jahat DAP tetapi dari kalangan sesama rakyat yang objektif dan terbuka,” jelas beliau.

Roslan Shahir menegaskan, PAS tidak seperti gambaran yang dibawa pihak tertentu, sebaliknya menggesa rakyat menilai parti itu berdasarkan maklumat yang lebih terbuka dan seimbang.

“Yang jahat bukannya PAS tetapi yang menghasut dan mengadu-domba antara rakyat berbilang kaum.

“Yang ekstrem mahu merubah segala yang kita bina bersama puluhan tahun sejak sebelum Merdeka. Mereka inilah yang rasis dan ekstrem dan yang perlu ditolak bukannya PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2026

- Advertisement -