Perlis perlu utama program ‘kos rendah impak tinggi’

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri diharapkan mengekalkan tadbir urus kewangan secara teratur, berintegriti dan berhemah agar dapat mengekalkan Sijil Bersih iaitu Sijil Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri.

Ustaz Muhammad Azmir Azizan (PN-Santan) berkata, pencapaian itu akan menjadi pemangkin kepada pengurusan kewangan yang lebih cemerlang, telus dan berakauntabiliti.

- Advertisement -

“Merujuk kepada pembentangan Bajet Perlis 2026, sehingga 5 Disember 2025, Perlis menerima hasil negeri sebanyak RM193.86 juta dan melebihi RM70.93 juta berbanding RM122.93 juta yang dianggarkan pada Pembentangan Bajet Perlis tahun sebelumnya.

“Alhamdulillah, ini antara hasil kerjasama erat antara jabatan dan agensi negeri, Allah telah mengurniakan peningkatan hasil kepada Kerajaan Negeri daripada jalan yang tidak disangka-sangka,” katanya.

Beliau mengemukakan demikian ketika mengambil bahagian pada ucapan perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Khamis lalu.

Justeru ujarnya, perancangan kewangan negeri merupakan proses strategik Kerajaan Negeri dalam mentadbir, merangka belanjawan, mengawal perbelanjaan dan menjana hasil bagi memacu ekonomi serta kebajikan rakyat.

Hal itu kata beliau, dilaksanakan secara telus dan berhemah, sepertimana dititahkan Raja Perlis agar mengamalkan sikap berjimat cermat, berbelanja secara berhemah serta mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

Oleh itu beliau menyarankan agar Kerajaan Negeri mengambil perhatian dengan menggunakan pendekatan penganjuran program ‘kos rendah, impak tinggi’.

Iaitu jelasnya, dengan memberi fokus kepada kecekapan menjana perubahan positif yang besar menggunakan sumber, masa atau modal sangat terhad.

“Berbanding pendekatan ‘kos tinggi impak rendah’ yang merupakan satu pembaziran sumber dengan perbelanjaan besar sama ada wang, masa dan tenaga, tetapi gagal memberikan pulangan atau hasil yang diharapkan.

“Tuanku berpesan agar tumpuan wajar diberikan kepada inisiatif berimpak tinggi dan mampu menjana pulangan jangka panjang, bukannya bersifat sementara yang kurang memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Perlis juga ujarnya perlu dijadikan sebagai negeri yang mesra pelabur sama ada untuk sektor perindustrian, tenaga hijau, pertanian moden dan pelancongan.

Malah kata Azmir, pendekatan itu sejajar dengan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Perlis pada Mac lalu bahawa usaha memperkasa pelaburan di negeri ini.

“Usaha tersebut kini sedang rancak digerakkan melalui inisiatif mesra pelabur yang menjamin maklum balas dalam tempoh 14 hari, terutama bagi projek di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) serta sektor berimpak tinggi seperti tenaga bersih dan teknologi hijau,” ujarnya.

Menurut Azmir lagi, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan RM702,000 kepada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bagi pembangunan portal pelaburan dan sistem pemantauan projek berkenaan.

Jelas beliau, ia bertujuan memperkukuhkan promosi pelaburan negeri melalui penyampaian maklumat yang lebih pantas, telus dan interaktif bagi menarik lebih ramai pelabur dalam dan luar negara.

“Oleh itu saya nak tahu jugalah, bermula Januari hingga Jun 2026, sejauh mana keberkesanan kenyataan Menteri Besar yang menjamin maklum balas dalam tempoh 14 hari?

“Adakah ada pihak pelabur yang berminat dan berhubung dengan pihak Kerajaan Negeri hasil daripada kenyataan yang dikeluarkan? Adakah portal tersebut telah diwujudkan?

“Kalau sudah diwujudkan, apakah penilaian awal terhadap keberkesanan portal tersebut dari segi penyampaian maklumat dan keyakinan daripada pelabur?

“Adakah ada pelabur yang menarik diri di saat akhir. Kalau ada kenapa perkara tersebut berlaku?” soal beliau.

Beliau turut menegaskan pada Bajet 2026 juga telah diluluskan cadangan penambahbaikan Model Pengurusan CVIA yang antaranya memperincikan kaedah aturan tanah bagi kemasukan pelabur, harga jualan tanah plot industri dan plot komersial serta penubuhan akaun khas CVIA.

Sementara katanya lagi, Perlis State Secretary Incorporation atau PSSI juga telah diberi peranan menjaga kepentingan tanah Kerajaan Negeri di CVIA dan pemegang tabung Amanah CVIA.

Selain itu tegas Azmir, dalam usaha menjadikan Perlis sebagai negeri ilmu dan pembangunan insan, gabungan Pendidikan Rabbani dan Modal Insan Kelas Pertama adalah pelengkap yang sempurna untuk melahirkan individu yang holistik.

Perkara itu menurutnya, mampu menyatukan pembangunan spiritual (kerohanian) dan keupayaan fizikal serta intelektual bagi membentuk masyarakat yang maju, beretika dan diredhai Allah.

“Pendidikan Rabbani berteraskan nilai keimanan, ketakwaan dan akhlak Islamiah mampu membentuk jiwa yang ikhlas, amanah serta mempunyai kesedaran moral yang tinggi dalam setiap tindakan.

“Modal Insan Kelas Pertama iaitu Pembangunan Intelektual dan Fizikal akan memfokuskan kepada penguasaan ilmu moden, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), kreativiti, kebolehpasaran dan daya saing global.

“Hasil Gabungan (Insan Holistik) dapat melahirkan individu yang bukan sahaja pakar dalam bidang profesional seperti sains, teknologi atau ekonomi, tetapi turut memiliki integriti yang tidak boleh dibeli, belas kasihan dan nilai manusiawi yang mendalam,” jelas beliau.

Berikutan itu tegasnya, bagi mengukuhkan kefahaman, gabungan tersebut yang mementingkan elemen Ilmu (intelek), amal (tindakan), dan akhlak (nilai murni) seiring dengan konsep Falah iaitu kejayaan
dunia dan akhirat.

Sementara pendidikan TVET pula katanya, menjadi pemacu utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi selari dengan keperluan industri dan pembangunan zon ekonomi sempadan.

“Pelbagai institusi sekarang ini menyediakan program di peringkat sijil, diploma dan ijazah untuk memenuhi permintaan pasaran kerja semasa,” tambah beliau.

Memandangkan tenaga mahir dan pembangunan insan menjadi keperluan seiring dengan konsep Falah iaitu kejayaan
dunia dan akhirat, Azmir mencadangkan diadakan perbincangan antara institusi berkaitan.

Beliau merujuk Sekolah-Sekolah Agama Bantuan Kerajaan ( SABK ) dan pengurusan Maahad Tahfiz yang ada di Perlis untuk merangka silibus pengajian yang memenuhi kelayakan ke arah tersebut.

Pelajar dari SABK mahupun Maahad Tahfiz katanya juga, dapat menyambung pengajian di dalam bidang teknikal dan seterusnya memenuhi keperluan industri yang ada di negeri ini.

“Tuanku Raja Muda Perlis juga bertitah agar sistem Pendidikan di negeri ini terus dibangunkan dengan penuh kesungguhan dan komitmen yang setara dengan perkembangan arus perdana.

“Baginda mahukan fokus agenda pendidikan negeri tidak lagi boleh terhad kepada penguasaan literasi asas semata-mata, sebaliknya tumpuan strategik harus diperluaskan kepada pengukuhan institusi teknikal, politeknik dan universiti tempatan.

“(Bagi) melengkapkan umat Perlis dengan asas teori yang mantap
serta keupayaan praktikal yang tinggi demi memenuhi standard industri semasa,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/6/2026

- Advertisement -