DAP ‘menikus’, Loke hanya ‘cakap besar’ dalam kelambu

Isu bubar DUN: Pemuda PAS cabar DAP tunjuk keberanian

- Advertisement -

ALOR SETAR: DAP diselar kerana gagal mengotakan ‘cakap besar’ parti itu untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) susulan pembubaran DUN Johor, baru-baru ini.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Ibrahim Ismail berkata, tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan tegas di atas pentas Konvensyen Pakatan Harapan kini dilihat sekadar ‘cakap besar’.

Beliau menegaskan, meskipun DUN Johor telah dibubarkan sejak tiga hari lalu, negeri-negeri ditadbir gabungan PH-DAP masih belum menunjukkan tanda-tanda akan melakukan perkara sama, sebaliknya dilihat cuba mencipta pelbagai alasan.

“Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP baru ini dengan gagah di atas pentas Konvensyen Pakatan Harapan menyergah Umno. Jika DUN Johor bubar esok, Negeri Sembilan pun PH-DAP akan bubar esok.

“Hari ini sudah 3 hari DUN Johor dibubarkan, negeri ditadbir PH-DAP masih terkial-kial mencipta alasan mengelak negeri sendiri dibubarkan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Kemelut pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu telah mencetuskan reaksi rantaian dalam lanskap politik tanah air, terutamanya melibatkan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PH menyatakan kesediaan untuk membubarkan DUN di negeri-negeri diterajui mereka sekiranya BN bertindak membubarkan DUN secara bersendirian bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Namun, selepas pembubaran di Johor, pimpinan PH termasuk di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dilihat mengubah keputusan yang kemudiannya mengundang kritikan daripada pelbagai pihak sekali gus dilihat sebagai kegagalan prinsip dan ketakutan kehilangan kuasa.

Ibrahim yang juga seorang pengamal undang-undang turut mempersoalkan keberanian DAP dan menyifatkan parti itu kini hanya ‘menikus’ kerana bimbang akan kehilangan jawatan politik.

Beliau mencabar Loke agar tidak melengah-lengahkan tindakan politik yang lebih drastik, termasuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan di Perak dan Pahang bagi membuktikan parti itu tidak ‘dibuli’ oleh Umno.

“Loke, jangan tangguh lagi, tarik sokongan di Perak dan Pahang. Malah DAP boleh segera isytihar keluar dari Kerajaan Pusat. Biar Umno hilang kepercayaan rakyat. Jangan biar Umno buli PH-DAP.

“Jika ekonomi sudah bagus dan rakyat telah yakin keupayaan PH-DAP. Apa ditangguh lagi. Jangan biar Rafizi (Ramli) dan Nik Nazmi (Nik Ahmad) sempat jelajah seluruh negara untuk runtuhkan kerajaan UmDAP,” sindir beliau lagi.

Dalam pada itu, kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow juga menjadi tumpuan apabila beliau memberi bayangan bahawa pembubaran DUN Pulau Pinang adalah mustahil dilakukan dalam masa terdekat sementara menunggu keputusan pimpinan pusat.

Keadaan itu dilihat bercanggah dengan tekanan yang diberikan oleh cabang pemuda parti itu sendiri, DAPSY di mana sebelum ini menggesa agar pilihan raya diadakan secara serentak.

“Pulau Pinang, melalui Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan menunggu keputusan kepemimpinan pusat parti. Sambil memberi bayangan mustahil DUN Pulau Pinang dibubarkan dalam masa terdekat.

“DAPSY, cabang Pemuda DAP pada 28 May 2026 mengeluarkan kenyataan jika ada pihak berani ‘tikam belakang’, mereka tidak teragak menyeru PMX membubarkan parlimen bersama dengan DUN Johor agar pilihanraya serentak dapat diadakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -