MPAJ tukar fungsi premis awam secara tidak demokratik

Dewan MPAJ Perwira Jaya ditukar jadi pusat kitar semula

- Advertisement -

AMPANG: Cadangan menjadikan Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Perwira Jaya sebagai pusat kitar semula mengundang bantahan penduduk kerana menjejaskan fungsi kemudahan komuniti sedia ada.

- Advertisement -

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, dewan tersebut merupakan kemudahan awam penting yang digunakan oleh seluruh warga Ampang Jaya.

Jelas bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu, dewan tersebut digunakan penduduk meliputi kawasan dari Taman Melawati hingga Kampung Cheras Baru serta Taman Keramat ke Taman Bukit Permai.

Menurutnya, keputusan menukar fungsi dewan itu secara langsung menafikan hak penduduk untuk menggunakan kemudahan yang amat diperlukan, terutama dalam keadaan kemudahan komuniti terhad.

“Keputusan ini bukan perkara kecil kerana ia memberi kesan besar kepada kesejahteraan sosial penduduk setempat,” katanya yang juga Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH).

Menurut beliau, isu berkenaan bukan sahaja melibatkan penduduk tempatan, malah berpotensi menjadi perhatian di peringkat negeri Selangor dan nasional.

Tambah Dato’ Iskandar lagi, perkara yang lebih membimbangkan ialah keputusan tersebut dibuat tanpa rundingan awal bersama penduduk atau wakil rakyat.

“Sebarang perubahan fungsi kemudahan awam sepatutnya dibincangkan secara terbuka. Penduduk berhak didengar dan mampu menyumbang cadangan yang konstruktif,” jelasnya.

Katanya lagi, ketiadaan dialog sebelum keputusan dibuat adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi yang menekankan penyertaan rakyat dalam proses membuat keputusan.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan sekiranya pusat kitar semula itu beroperasi berhampiran kawasan perumahan.

“Saya berharap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat meneliti perkara ini,” ujarnya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Menurut Dato’ Iskandar walaupun pihak MPAJ membuka ruang dialog selepas bantahan dikemukakan, isu tersebut dilihat tidak mendapat perhatian serius daripada wakil rakyat.

“Keadaan ini seolah-olah memperlihatkan suara penduduk dipandang ringan,” tegasnya di mana Dewan MPAJ Perwira Jaya sebelum ini digunakan secara meluas oleh penduduk setempat bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti program komuniti, sukan, majlis perkahwinan dan pertemuan awam.

Cadangan menukar fungsi dewan kepada pusat kitar semula dipercayai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan pengurusan sisa pepejal dan amalan kitar semula di kawasan pentadbiran MPAJ.

Namun, langkah tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kerana lokasi dewan yang berhampiran kawasan perumahan dikhuatiri memberi kesan kepada keselesaan, keselamatan dan kesihatan, selain mengurangkan akses kepada kemudahan awam sedia ada. – HARAKAHDAILY 30/4/2026

- Advertisement -