Iran tolak taktik tekanan licik AS

Presiden Iran mengkritik tindakan AS, menegaskan rundingan mesti berdasarkan rasa hormat

Masoud Pezeshkian
- Advertisement -

TEHRAN: Iran menegaskan tidak akan mengadakan rundingan dengan pihak musuh perang di bawah tekanan, ancaman, dan pengepungan haram Amerika Syarikat (AS) ke atas sebarang kepentingan Republik Islam itu.

- Advertisement -

Dalam perbualan telefonnya dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengkritik pelanggaran berterusan dan tingkah laku paksaan oleh AS semasa rundingan dan tempoh gencatan senjata, lapor MNA.

Beliau enyatakan bahawa tindakan yang berkaitan dengan sekatan maritim Washington terhadap Iran merupakan pelanggaran jelas terhadap pemahaman gencatan senjata dan tidak konsisten dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Langkah sedemikian bersama-sama dengan retorik yang mengancam, telah meningkatkan keraguan mengenai komitmen AS terhadap proses diplomatik,” katanya.

Pezeshkian mengesahkan semula keazaman Iran untuk mempertahankan keselamatan negaranya, dan memberi amaran tentang semua kemungkinan akibat daripada sebarang konfrontasi baharu oleh AS dan Israel untuk kestabilan serantau dan global.

Beliau seterusnya menekankan bahawa Iran kekal komited untuk membina dan mengukuhkan hubungan dengan semua negara-negara jiran, termasuk negara-negara di sepanjang pantai selatan Teluk Arab, berdasarkan hubungan kejiranan yang baik dan saling menghormati.

Beliau juga melahirkan harapan bahawa negara-negara ini juga akan bekerjasama secara kolektif untuk menggalakkan keamanan dan keselamatan serantau, bebas daripada campur tangan luar.

Sementara itu, agensi berita Iran, ISNA melaporkan bahawa Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, telah mengadakan perbincangan mengenai isu-isu berkaitan diplomasi dan gencatan senjata serta pembangunan serantau dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Badr Abdel Atias.

Menurut laporan ISNA pada Ahad, Aagachi juga telah mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan.

Terdahulu, ketika rundingan damai memasuki perairan yang keruh, beberapa titik pertikaian masih wujud antara AS dan Iran.

AS mahu Iran menggantung program nuklearnya, tetapi Iran menegaskan bahawa sekatan itu hanya untuk tempoh yang terhad.

AS juga tanpa rasa malu berkemahuan mengambil alih simpanan 400 kilogram uranium yang diperkaya milik Iran, namun Tehran telah menolak permintaan itu, seperti yang dilaporkan oleh Al Jazeera.

Iran juga telah menegaskan bahawa ia akan mengekalkan sekatan ke atas perkapalan di Selat Hormuz sehingga AS menarik balik sekatannya ke atas pelabuhan Iran.

Namun Trump berkata sekatan itu akan kekal sehingga perjanjian dicapai, tetapi Iran pula menuntut pelepasan sekatan dan pembatalan pembekuan aset bernilai USD20 bilion sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian yang berkekalan.

Iran juga telah menuntut pampasan bagi kerosakan yang disebabkan oleh serangan AS dan Israel, berjumlah kira-kira USD270 bilion. – HARAKAHDAILY 27/4/2026

- Advertisement -