
MUAR: Pengundi Johor diseru supaya menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan.
“Jangan undi PH. Jangan undi BN. Undi PN. Siapa yang nak berkawan dengan PN ‘mai’ (marilah). Siapa nak lawan? ‘Hangpa’ (Kamu) tunggu.
“Ahli-ahli Umno, Ketua-ketua Bahagian Umno di bawah yang nak bersama PN datang beramai-ramai, bagi undi kita bentuk kerajaan di Johor ni,” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional Negeri Johor di Pusat Komuniti PAS Muar, Parit Tarom di sini, malam tadi.
Menteri Besar Kedah itu dalam masa sama mengkritik kepimpinan Umno dan menegaskan bahawa perkara yang salah perlu dinyatakan sebagai salah.
“Tinggalkan Wak Zahid (Merujuk Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tu. Dia bukan orang sini, dia orang Bagan Datuk.
“Johor (untuk orang) Johorlah, ‘hat’ (yang) tak betul kena kata tak betul. Dunia ni senang tuan-tuan.
“Nak selamat nak bersih, ‘hat’ salah kata salah, ‘hat’ betul kata betul di mana duduk pun tak apa. Selesai dah.
“Yang hang ‘duk’ buat silap mata, silap gayung, silap cekak ni pasal apa? Fasal nak selamatkan diri. Apa salah kalau ‘hang’ (kamu) lawan di mahkamah?” tempelak beliau.
Beliau turut menggesa pengundi supaya tidak terus menyokong PH, sebaliknya membuat perubahan selepas menyedari kesilapan lalu.
“Adoi tuan-tuan nak keluar anak tekak dah. Kalau ‘hangpa’ undi PH juga ‘mampuih’. Cukuplah setakat yang kita tersalah buat itu. Tersilap sebab tak tahu. Dah tahu (sikap BN PH) ini berhentilah. Cukuplah (daripada undi mereka),” serunya lagi.
Dalam ucapannya itu juga, Bendahari PN tersebut turut menyentuh mengenai kepimpinan PN yang menurutnya mempunyai pengalaman luas, termasuk Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, pengalaman tersebut merangkumi pelbagai jawatan penting dalam kerajaan termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan beberapa portfolio kementerian.
Selain itu, beliau turut menyatakan PN mempunyai barisan kepimpinan serta teknokrat yang mampu mengurus pentadbiran kerajaan dengan baik, termasuk Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar.
“Ditarik balik royalti petroleum. Gaji tak boleh bayar, gaji kena pi Putrajaya minta bayar gaji pegawai. Pasal royalti petroleum RM1 billion lebih, dimasuk sebagai hasil dalam belanjawan negeri. Itulah hasil negeri. (Kerajaan PH-BN) Tahan. Nak belanja (kena) mai ambil (di Putrajaya).
“Nak bayar gaji kena pi ambil di Putrajaya. Nak bayar bonus kakitangan awam kena pi ambil Putrajaya. Bila pi ambil depa kata, ‘ha bonus tak boleh bayar, kena ‘mai’ ambil sini juga’.
“Kepala bapa hang, bukan duit hang. Bukan duit hang. Duit royalti. Nampak tak? Nak bagi nampak orang lemah, tahan duit.
“Menteri Besar Terengganu, Pengerusi Perikatan Nasional boleh survive negeri yang dicekik sampai macam itu sampai sekarang survive. Hebat tuan-tuan kita ada orang,”(pimpinan PN) jelasnya.
Menurutnya, sistem pentadbiran kerajaan telah tersedia dan hanya memerlukan pelaksanaan dasar serta polisi yang berbeza.
“Kerajaan ni dia ada sistem. Dia ada sistem kerajaan yang bergerak. Siapa jadi Perdana Menteri (PM) dia dah disusun dalam sistem. Cuma hang tak boleh buat luar tabii saja. ‘Hang’ kena ikut sistem tu.
“Kalau ‘hang’ kata jadi PM saya turunkan minyak, tiba-tiba hang penaik harga minyak, itu luar tabii. Janji ‘lagu’ lain, buat ‘lagu’ lain, Tak betui.
“Siapa jadi MB, ada sistem kerajaan. Semuanya telah diikat oleh undang-undang. Ini dia jalan. Dasar dan polisi saja boleh ubah,” tegasnya.
Sanusi berkata, perubahan dasar seperti keutamaan kepada pendidikan dan bantuan kepada golongan miskin boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan sistem pentadbiran sedia ada.
Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman bukan satu-satunya syarat untuk memimpin kerana sistem kerajaan sudah tersusun dan berfungsi.
“Siapa boleh jadi Perdana Menteri boleh, jangan takut kononnya ‘saya pernah jadi Perdana Menteri. Sebab saya ada pengalaman jadi Menteri Kewangan terbaik Asia’.
“Poodah, sembang kari. ‘Depa’ (mereka) kata apa? Gajah boleh terbang ke? Ha,” tempelak beliau lagi dipercayai merujuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Sanusi menyatakan keyakinan bahawa PN mampu membawa perubahan di peringkat Persekutuan dan negeri dengan kekuatan kepimpinan serta pengalaman yang dimiliki.
“Insya-Allah dengan keazaman yang kita ada. Pengalaman yang telah mengkayakan kita. Tunjuk ajar yang diberikan oleh orang-orang terdahulu.
“Kita bertekad untuk mengubah kerajaan di Persekutuan dan di negeri insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2026











