
SAYA mengecam dengan tegas tindakan ADUN Seri Kembangan dari DAP yang membangkitkan cadangan supaya kerajaan dan pelabur mempertimbangkan penerokaan sistem penternakan babi yang tertutup dan moden di Selangor, termasuk konsep zero discharge serta teknologi kitar semula biogas kepada elektrik.
Pada pandangan saya, cadangan seperti ini tetap tidak boleh diterima dan jelas bersifat biadab serta tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan, kerana pokok isunya bukan soal sama ada penternakan itu dilabel sebagai moden, tertutup, sifar pelepasan, atau digabungkan dengan teknologi biogas.
Pokok isunya ialah titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sudah jelas bahawa tiada lagi penternakan babi di Selangor, dan keperluan bekalan hendaklah dipenuhi melalui import.
Kerajaan negeri pula telah memutuskan untuk tidak lagi meneruskan pemberian lesen penternakan babi di semua daerah, menutup ladang sedia ada secara berperingkat, dan memenuhi keperluan tempatan melalui import sepenuhnya.
Yang dibangkitkan bukan sekadar soal teknologi, tetapi soal sikap. Apabila titah Tuanku sudah jelas bahawa tiada lagi penternakan babi di Selangor, maka cubaan menghidupkan semula cadangan itu, walaupun dibalut dengan istilah moden seperti zero discharge, sistem tertutup dan biogas, tetap memperlihatkan sikap biadab serta tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan.
Dalam sebuah negeri yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, setiap wakil rakyat sepatutnya memahami bahawa kebebasan berhujah di dalam Dewan bukan lesen untuk membangkitkan semula perkara yang telah dimuktamadkan pada peringkat tertinggi negeri.
Apatah lagi apabila isu ini menyentuh adab terhadap institusi diraja, keharmonian masyarakat majmuk, sensitiviti awam, alam sekitar, dan ketenteraman negeri.
Justeru, saya mendesak agar Speaker Dewan Negeri Selangor dan jawatankuasa yang berkaitan meneliti perkara ini dengan serius serta mempertimbangkan tindakan tatatertib yang tegas, termasuk penggantungan ADN Sri Kembangan daripada sidang Dewan sehingga 12 bulan, sekiranya didapati beliau benar-benar telah membangkitkan cadangan yang bertentangan dengan titah Tuanku dan mencemarkan adab terhadap institusi Raja Berperlembagaan.
Pada pandangan saya, perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh maruah Dewan, tertib kenegaraan, dan penghormatan kepada institusi negeri.
Saya ingin menegaskan bahawa rakyat Selangor berhak menuntut semua wakil rakyat agar menunjukkan adab terhadap institusi negeri, menghormati titah Tuanku, dan berhujah dalam batas kebijaksanaan.
Dewan Negeri Selangor tidak sepatutnya menjadi medan untuk menghidupkan semula polemik yang telah diputuskan, tetapi medan untuk membina dasar yang lebih menenangkan rakyat, memelihara keharmonian, dan menjunjung kedaulatan negeri.
Hormatilah titah Tuanku. Hormatilah institusi Raja Berperlembagaan. Jangan berselindung di sebalik istilah teknikal untuk menghidupkan semula sesuatu yang telah jelas ditolak oleh pendirian tertinggi negeri.
MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 22/4/2026











