
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan isu kenaikan harga diesel bukan soal bersyukur, sebaliknya melibatkan persoalan kecukupan dan keberkesanan dasar kerajaan dalam menangani krisis semasa.
Menurutnya, bantuan tunai tanpa pelan struktur hanya bersifat reaktif dan bukan penyelesaian jangka panjang kepada masalah yang dihadapi rakyat.
Beliau berkata demikian mengulas kenaikan harga diesel kepada RM6.02 seliter di Semenanjung Malaysia seperti diumumkan Kementerian Kewangan pada 1 April 2026.
“Persoalan yang dibangkitkan adalah sebagai wakil rakyat yang prihatin, bukan semata-mata sebagai pembangkang, selain mengambil kira pengalamannya pernah berkhidmat dalam Kabinet dan memahami kerumitan membuat dasar.
“Rakyat berhak mendapat lebih daripada sekadar pengumuman harga setiap Rabu tanpa konteks dan tanpa pelan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menegaskan Malaysia sebagai negara pengeluar minyak mempunyai kelebihan tersendiri termasuk kewujudan PETRONAS, kapasiti penapisan serta hubungan diplomatik dengan negara pengeksport diesel utama.
“Persoalannya, adakah kita menggunakan semua kelebihan ini untuk melindungi rakyat?” soal beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan krisis semasa memerlukan kepimpinan yang berfikir secara strategik, bertindak proaktif dan berkomunikasi secara jujur.
“Rakyat tidak meminta keajaiban, rakyat meminta kejujuran,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kenaikan harga diesel tersebut sebagai titik kritikal dalam pengurusan tenaga negara yang memerlukan penilaian semula secara serius dan menyeluruh.
Beliau mengakui kerajaan berdepan cabaran besar susulan konflik di Timur Tengah dan penutupan Selat Hormuz yang mengganggu bekalan minyak global.
Namun beliau menegaskan kaedah tindak balas kerajaan terhadap situasi itu masih dalam kawalan.
Sehubungan itu, beliau membangkitkan beberapa persoalan dasar yang menurutnya wajar dijawab kepada rakyat.
Angka tidak selari
Beliau berkata, pada minggu ini harga RON97 diturunkan 20 sen kepada RM4.95 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi kekal RM3.87, namun diesel dinaikkan 50 sen kepada RM6.02, menjadikan jumlah kenaikan sejak 5 Mac sebanyak RM2.90 atau 93 peratus.
Menurutnya, walaupun kementerian menjelaskan harga produk tertapis diesel mencecah USD250 setong berbanding petrol USD150 setong, penerimaan fakta itu tidak bermakna rakyat perlu menerima setiap kenaikan tanpa soal.
Antara persoalan yang dibangkitkan beliau termasuk komponen sebenar pengiraan harga runcit diesel, jumlah sebenar kos yang diserap kerajaan serta perubahan nilai itu dari minggu ke minggu.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana kelemahan ringgit mempengaruhi kenaikan harga diesel dan langkah yang diambil Bank Negara untuk menstabilkan kadar pertukaran.
Selain itu, beliau menyoal peranan strategik PETRONAS dalam situasi krisis tenaga global termasuk mekanisme lindung nilai serta sama ada keuntungan luar biasa disalurkan semula untuk melindungi rakyat.
Dasar, bukan sekadar harga
Beliau menegaskan isu sebenar bukan harga mingguan bahan api, sebaliknya ketiadaan dasar tenaga negara yang komprehensif dalam menghadapi realiti geopolitik baharu.
Katanya, penutupan Selat Hormuz yang membawa 20 peratus bekalan minyak global bukan gangguan sementara dan pemulihan bekalan dijangka mengambil masa berbulan-bulan.
“Dalam konteks ini, pengumuman harga mingguan tanpa konteks strategik adalah tidak mencukupi,” kata beliau yang juga Timbalan Presiden PAS.
Tuan Ibrahim turut membangkitkan keperluan pelan kepelbagaian sumber bekalan diesel, pelan kecemasan tenaga negara, serta mekanisme perlindungan bagi sektor kritikal seperti logistik, pertanian, perikanan dan pembinaan.
Menurutnya, kenaikan 93 peratus dalam tempoh empat minggu memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan, operasi nelayan serta jentera ladang yang akhirnya meningkatkan tekanan inflasi kepada rakyat berpendapatan rendah.
Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan mekanisme kawalan harga diesel untuk sektor kritikal sekurang-kurangnya sepanjang tempoh krisis.
Selain itu, beliau mempersoalkan garis masa pelaksanaan strategi jangka sederhana dan panjang yang masih belum diumumkan walaupun krisis telah berlaku.
“Rakyat tidak boleh menunggu kajian yang mengambil masa berbulan-bulan sementara harga diesel terus meningkat setiap minggu,” tegas beliau.
Paradoks BUDI Diesel
Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan bantuan BUDI Diesel kepada RM300 sebulan perlu dilihat dalam konteks sebenar kos operasi.
Katanya, pengusaha lori yang menggunakan 200 liter diesel sehari menanggung kos lebih RM1,200 sehari atau melebihi RM30,000 sebulan, menjadikan bantuan RM300 kurang daripada satu peratus daripada kos operasi.
“Seorang nelayan yang menggunakan 50 liter diesel setiap kali ke laut berbelanja RM301 sekali trip. Jika beliau ke laut 20 kali sebulan, kos diesel sahaja ialah RM6,020. Bantuan RM300 hanya menutup 5 peratus daripada kos dieselnya,” kata beliau memberikan contoh. – HARAKAHDAILY 2/4/2026











