Wibawa Dr Sam bawa PN hadap dinamika politik semasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu.

“Pelantikan tersebut merupakan satu amanah besar yang mencerminkan keyakinan serta kepercayaan kepimpinan dan seluruh jentera PN terhadap kewibawaan, ketokohan serta kemampuan Samsuri untuk menerajui gabungan berkenaan dalam suasana politik yang semakin mencabar,” ujarnya.

- Advertisement -

Menurutnya, kepimpinan baharu itu diyakini mampu memperkukuh kesatuan dalaman parti-parti komponen PN selain membawa pendekatan lebih strategik dan tersusun dalam memperjuangkan agenda rakyat.

“Semoga beliau dapat memimpin dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketenangan berlandaskan nilai integriti, keadilan serta kepentingan rakyat. Kita berharap kepimpinan beliau akan memperkasa hala tuju perjuangan PN.

“(Juga) Memperkukuh persefahaman antara parti komponen serta menyumbang kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Dalam kenyataan sama, Nuridah turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas segala jasa, pengorbanan dan kepimpinan beliau sepanjang menerajui gabungan tersebut.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Muhyiddin, PN telah melalui pelbagai fasa penting termasuk tempoh pembentukan Kerajaan Persekutuan serta cabaran besar dalam landskap politik negara.

“Segala sumbangan dan pengorbanan beliau menjadi asas penting kepada kekuatan, hala tuju serta jati diri PN hari ini. Jasa beliau akan sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar segala usaha dan bakti dicurahkan oleh Muhyiddin menjadi amal kebajikan yang berpanjangan.

Terdahulu, Perikatan Nasional ditubuhkan pada tahun 2020 sebagai gabungan parti politik yang dianggotai antaranya oleh BERSATU dan PAS, serta GERAKAN.

Gabungan tersebut membentuk kerajaan Persekutuan pada Mac 2020 susulan perubahan pentadbiran negara, dengan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia.

Pentadbiran itu berlangsung sehingga Ogos 2021 sebelum berlakunya peralihan kepimpinan, namun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN muncul sebagai antara blok utama di Parlimen.

Kini PN memainkan peranan sebagai gabungan pembangkang utama dengan sokongan signifikan di beberapa negeri termasuk Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Samsuri yang juga Naib Presiden PAS, dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu sejak 2018 dan terus memimpin negeri itu selepas PRU15.

Beliau mempunyai latar belakang profesional dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa serta pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan negeri dan pengurusan organisasi parti.

Tambah Nuridah lagi, pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN dilihat sebagai langkah penyusunan semula kepimpinan bagi memperkukuh struktur organisasi gabungan tersebut, selain merangka strategi politik yang lebih tersusun dalam menghadapi dinamika politik semasa.

Dengan pelantikan itu, PN dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperluas sokongan rakyat, memperkemas gerak kerja jentera parti serta memperkukuh peranan sebagai alternatif kepimpinan negara pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 24/2/2026

- Advertisement -