Kenyataan rasmi Dato’ Hanafiah Mat

- Advertisement -

SAYA mengambil maklum berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap diri saya.

Sejak dari peringkat awal, saya bersama pasukan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak penyiasat.

Segala dokumen yang diperlukan telah diserahkan, keterangan telah diberikan, dan saya tidak pernah sesekali mengelak daripada proses undang-undang yang sedang berjalan.

Untuk makluman, siasatan ini bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah bermula sejak beberapa tahun lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, saya sentiasa bersikap terbuka dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Saya berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap individu berhak mendapat keadilan dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah.

Saya juga memahami bahawa dalam suasana politik semasa, pelbagai persepsi dan spekulasi boleh timbul.

Walau bagaimanapun, saya memilih untuk tidak mengulas perkara yang bersifat spekulatif dan menyerahkannya sepenuhnya kepada proses undang-undang.

Saya percaya rakyat mampu menilai secara adil berdasarkan fakta, tanpa dipengaruhi oleh persepsi yang tidak berasas.

Fokus saya kekal kepada amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat. Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab tersebut dan akan terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

Akhir sekali, saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus mendoakan dan memberikan sokongan.

Semoga ada kebaikan atau hikmah di atas setiap perkara yang berlaku.
InsyaAllah.

DATO’ HAJI HANAFIAH MAT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai
Exco Kerajaan Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 23/2/2026

- Advertisement -
- Advertisement -