
KUALA LUMPUR: Keabsahan jawatan Ketua Pembangkang mesti berteraskan konsensus majoriti Ahli Parlimen blok pembangkang dan tidak boleh ditentukan secara ‘unilateral’, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
Beliau berkata, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memberikan asas jelas bahawa kedudukan Ketua Pembangkang mesti mencerminkan kepimpinan sebenar dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
Beliau menyatakan demikian sebagai membidas Ahli Parlimen Jelutong yang sekali lagi bangun pada sesi petang Dewan Rakyat untuk mempertikaikan kedudukan Ketua Pembangkang selepas kali pertama berbuat demikian pada sesi pagi.
“Sebenarnya ia hanyalah pertikaian yang membuang masa Dewan sahaja. Peraturan Mesyuarat 4A(3) mentakrifkan Ketua Pembangkang sebagai ‘ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak Pembangkang’.
“Takrif ini mengikat jawatan tersebut kepada realiti politik dalam Dewan iaitu seseorang itu mestilah benar-benar memimpin kumpulan pembangkang,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, dari sudut prinsip, selagi seseorang itu bukan Ahli Parlimen kerajaan dan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen pembangkang, maka beliau memenuhi sifat asas sebagai Ketua Kumpulan pihak Pembangkang.
“Inilah roh sebenar peruntukan tersebut, kerana istilah ‘ketua kumpulan’ secara semula jadinya merujuk kepada individu yang diiktiraf oleh majoriti dalam kumpulan berkenaan,” tegasnya.
Beliau turut merujuk Peraturan Mesyuarat 4A(4) yang memperuntukkan bahawa jika berbangkit apa-apa keraguan atau pertikaian mengenai siapa yang sedang atau telah menjadi Ketua Pembangkang, perkara itu hendaklah diputuskan oleh Tuan Yang di-Pertua dan keputusannya adalah muktamad serta konklusif.
Katanya, kewujudan fasal itu menunjukkan Peraturan Mesyuarat mengiktiraf kemungkinan wujud pertikaian mengenai siapa yang benar-benar mengetuai blok pembangkang.
“Ini bermaksud legitimasi jawatan tersebut pada asasnya berpunca daripada fakta sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang, bukan sekadar pengumuman formal mana-mana pihak.
“Kuasa Tuan Yang di-Pertua di bawah Peraturan 4A(4) bersifat penentuan apabila wujud keraguan, bukan kuasa untuk melantik tanpa asas.
“Speaker perlu menilai siapa yang sebenarnya mendapat kepercayaan majoriti dalam blok pembangkang,” ulasnya.
Beliau berkata, jika pelantikan dibuat tanpa rundingan atau tanpa sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang, keadaan itu sudah memenuhi ambang ‘keraguan atau pertikaian’ seperti diperuntukkan dalam Peraturan 4A(4).
“Dalam keadaan demikian, pendekatan paling selari dengan roh Peraturan Mesyuarat ialah membuktikan sokongan majoriti melalui konsensus atau akuan sokongan,” terangnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan amalan paling kukuh dari sudut peraturan dan demokrasi berparlimen ialah mana-mana Ahli Parlimen yang bukan daripada pihak kerajaan dan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen pembangkang wajar diiktiraf sebagai Ketua Pembangkang.
Katanya, itu termasuk jika majoriti Ahli Parlimen pembangkang bersetuju mengekalkan Ahli Parlimen Larut sebagai Ketua Pembangkang.
“Kesimpulannya, tafsiran yang jujur terhadap Peraturan Mesyuarat 4A(3) dan 4A(4) membawa kepada satu prinsip yang tidak boleh dipertikaikan iaitu Ketua Pembangkang mesti lahir daripada kehendak kolektif blok pembangkang.
“Tanpa legitimasi majoriti tersebut, kedudukan itu kekal rapuh dari sudut roh demokrasi berparlimen walaupun mungkin kelihatan teratur secara prosedur,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2026











