Tanpa kekerasan, Trump tetap mahu rampas Greenland

- Advertisement -

DAVOS: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi mencetuskan kontroversi di pentas antarabangsa apabila berkeras bahawa Greenland perlu berada di bawah kawalan Amerika Syarikat, namun memberi jaminan bahawa beliau tidak akan menggunakan kekerasan bagi merealisasikan tuntutan tersebut.

- Advertisement -

Berucap pada mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Trump berkata dakwaan bahawa beliau akan menawan Greenland secara ketenteraan adalah tidak benar, walaupun beliau secara terbuka mengancam akibat jika Denmark terus menolak hasrat Washington.

“Orang ramai menyangka saya akan menggunakan kekerasan. Saya tidak perlu menggunakan kekerasan. Saya tidak mahu dan saya tidak akan menggunakannya,” katanya.

Namun begitu, Trump tetap berkeras bahawa Greenland yang merupakan wilayah autonomi di bawah Denmark adalah penting untuk keselamatan strategik Amerika Syarikat dan antarabangsa, malah mendakwa pulau itu secara geografi dan kepentingan keselamatan adalah sebahagian daripada Amerika Utara.

Trump menuduh Denmark gagal melindungi Greenland dengan secukupnya, dan mendakwa hanya Amerika Syarikat mempunyai keupayaan untuk menjamin keselamatan wilayah tersebut.

“Pulau yang sangat besar dan tidak terjamin ini sebenarnya adalah sebahagian daripada Amerika Utara. Itu wilayah kami,” katanya.

Beliau turut menggesa rundingan segera bagi membincangkan pemerolehan Greenland oleh AS, sambil memberi ultimatum kepada Denmark.

“Mereka ada pilihan. Katakan ya, dan kami akan menghargainya. Katakan tidak, dan kami akan mengingatinya,” tegas Trump.

Beberapa jam selepas ucapannya, Trump mengumumkan di platform Truth Social bahawa beliau telah mencapai satu ‘rangka kerja perjanjian masa depan’ berkaitan Greenland selepas pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte.

Bagaimanapun, butiran perjanjian tersebut tidak didedahkan, dan Rutte kemudiannya menjelaskan bahawa isu kedaulatan Greenland tidak dibincangkan dalam pertemuan mereka.

Trump dalam masa yang sama bersetuju untuk menarik balik ancaman tarif terhadap sekutu Eropah yang sepatutnya bermula 1 Februari ini.

Dalam ucapannya, Trump sekali lagi mengkritik NATO, menyifatkan pakatan ketenteraan itu sebagai beban dan kerugian besar kepada Amerika Syarikat.

“Kami tidak pernah meminta apa-apa, dan kami tidak pernah mendapat apa-apa,” katanya.

Trump turut menyatakan AS hanya akan mendapat manfaat jika menggunakan kekuatan ketenteraan yang ‘tidak dapat dihentikan’, namun menegaskan beliau tidak akan berbuat demikian.

Kenyataan itu dibuat tanpa mengiktiraf bantuan NATO kepada AS selepas serangan 11 September 2001, apabila klausa pertahanan kolektif pakatan itu diaktifkan.

Mengulas ekonomi global, Trump mendakwa Amerika Syarikat adalah pemacu utama pertumbuhan dunia.

“Apabila Amerika berkembang, dunia ikut berkembang. Apabila Amerika jatuh, dunia ikut jatuh,” katanya.

Beliau mendakwa pemulihan ekonomi AS selepas kembali ke Rumah Putih pada 2025 berlaku jauh lebih pantas daripada jangkaan.

Sebaliknya, Trump memberi gambaran suram terhadap Eropah, menyalahkan dasar tenaga hijau dan penghijrahan sebagai punca kemerosotan benua itu, tanpa mengemukakan bukti sokongan.

Trump mempertahankan dasar tarifnya, mendakwa langkah itu berjaya mengurangkan defisit perdagangan AS secara drastik, meningkatkan pengeluaran domestik dan tidak mencetuskan inflasi.

Beliau turut mendakwa AS telah memeterai perjanjian perdagangan besar dengan rakan utama termasuk negara-negara Eropah, Jepun dan Korea Selatan. – HARAKAHDAILY 22/1/2026

- Advertisement -