
KEMELUT politik yang berlaku di Perlis wajar dibaca bukan sekadar sebagai krisis dalaman parti atau episod perebutan jawatan, tetapi sebagai sebuah ‘universiti politik terbuka’ yang mengajar rakyat mengenai hakikat sebenar kuasa, prinsip dan disiplin dalam politik. Dalam konteks ini, Perlis menjadi makmal kecil yang mendedahkan bagaimana teori politik seperti real politik, legitimasi, disiplin organisasi dan moral kuasa beroperasi dalam realiti sebenar.
Pertama, isu Perlis mengajar rakyat mengenai erti prinsip dan jati diri politik. Tindakan PAS mempertahankan keputusan parti walaupun berhadapan risiko kehilangan kuasa mencabar norma real politik yang lazimnya menghalalkan apa sahaja demi kelangsungan jawatan sebagaimana amalan politik Machiavellinisme. PAS memilih untuk mengekalkan ‘Weltanschauung’ perjuangan iaitu satu pandangan hidup politik yang meletakkan amanah mengatasi kuasa. Dalam universiti politik ini, rakyat belajar bahawa parti yang berprinsip tidak menyesuaikan nilai mengikut keadaan, sebaliknya menyesuaikan tindakan dengan nilai.
Kedua, kemelut ini memperlihatkan keberanian sebagai modal politik. Keberanian PAS bertindak tegas terhadap wakil rakyat sendiri yang ingkar arahan parti menunjukkan bahawa disiplin organisasi lebih penting daripada angka sokongan sementara. Dalam banyak parti, pembelotan sering ditoleransi atas nama kestabilan, tetapi di Perlis, rakyat melihat satu bentuk politik yang jarang berlaku di mana parti sanggup membayar harga politik demi mempertahankan struktur dan legitimasi dalaman. Ini menolak logik ‘Machtpolitik’ yang memuja kuasa tanpa batas.
Ketiga, tindakan melucutkan keahlian pimpinan PAS Perlis yang melanggar keputusan parti memberi kuliah penting mengenai kedaulatan parti mengatasi individu. Dalam sistem demokrasi berparti, wakil rakyat bukan aktor bebas sepenuhnya, tetapi terikat dengan mandat, disiplin dan kontrak moral bersama parti dan pengundi.
Rakyat belajar bahawa politik bukan medan anarki peribadi, tetapi institusi yang memerlukan peraturan dan kepatuhan. Inilah asas legitimasi politik dalaman, yang sering diabaikan dalam demokrasi elektoral.
Keempat, peletakan jawatan Menteri Besar, Cikgu Mohd Shukri Ramli, menjadi kuliah simbolik paling kuat dalam universiti politik Perlis. Tindakan ini menolak politik simbolik murahan yang biasanya mempertahankan kerusi hingga ke hujung kuasa walaupun mencetuskan kekacauan. Sebaliknya, ia menghantar mesej bahawa kuasa hanyalah amanah sementara, bukan milik peribadi. Dari sudut teori, tindakan ini memulihkan legitimasi moral parti walaupun mungkin melemahkan kedudukan de facto buat sementara waktu. Namun sikap berani PAS sudah tentu tidak mempedulikan ‘de facto’ itu.
Kelima, dalam universiti politik yang sama, rakyat turut mempelajari pelajaran melalui kegagalan pihak lain. Sikap BERSATU yang kelihatan masih keliru, terkial-kial dan tidak mengambil pendirian tegas mencerminkan krisis identiti dan defisit keputusan. Dalam politik, ketiadaan tindakan bukanlah neutral, sebaliknya satu bentuk kelemahan strategik. Rakyat belajar bahawa parti yang tiada garis prinsip jelas akan terperangkap dalam kekaburan, mudah dipinggirkan dalam percaturan kuasa elit. Sekali gus ia mengikis keyakinan rakyat kepada kemampuan BERSATU untuk terus melobi jawatan Perdana Menteri dari kalangan pimpinan Perikatan Nasional khususnya PAS. Sangat jelas BERSATU tertinggal di belakang PAS dalam penyelesaian krisis dan konflik.
Keenam, isu Perlis turut membuka perbandingan jelas dengan Umno, khususnya dalam isu solidariti terhadap hukuman Najib. Umno lantang dari segi retorik, awalnya berdegar-degar lantang kononnya bergabung dalam Kerajaan Perpaduan akan membuka kepada jalan perjuangan pembebasan Najib sebaliknya apa yang berlaku dalam realiti Umno gagal menunjukkan keberanian kolektif untuk bertindak. Ini mendedahkan jurang antara retorik politik dan tindakan sebenar, atau dalam istilah klasik, perbezaan antara ‘vox populi’ (suara rakyat) yang dilaungkan dan ‘cui bono’ yang dipertahankan iaitu kepentingan kuasa, kedudukan dan jawatan oleh pimpinan Umno.
Rakyat belajar bahawa keberanian politik bukan diukur melalui sidang media, laungan pemuda gagah atau ugutan tarik diri tetapi melalui kesediaan untuk menanggung risiko kehilangan kuasa demi kononnya perjuangan suci parti keramat. Akhirnya yang rakyat lihat bukan lagi parti keramat tetapi Umno parti khianat. Lebih sanggup khianat kepada perjuangan asal demi untuk bersama DAP mengekalkan kepentingan tembolok pimpinan masing-masing.
Kesimpulannya, kemelut Perlis telah berfungsi sebagai universiti politik tanpa yuran kepada rakyat. Ia mengajar bahawa prinsip adalah asas legitimasi, disiplin adalah nyawa organisasi, keberanian akan membezakan pemimpin dan oportunis dan seterusnya kuasa tanpa moral hanya menghasilkan ‘fait accompli’ (keadaan kena terima) yang rapuh.
Dalam ‘universiti’ ini, rakyat semakin celik bahawa politik bukan sekadar sesiapa boleh menang jawatan, tetapi bagaimana kuasa diperoleh, dipertahankan dan dilepaskan. Dan dari sudut itu, isu Perlis telah menaikkan tahap kesedaran politik rakyat ke satu aras yang lebih matang dan kritikal.
Dalam hal ini rakyat bersetuju PAS perlihatkan bagaimana prinsip dan halatuju perjuangan parti PAS telah berikan keyakinan yang lebih tinggi sebagai bakal teraju utama politik negara dan juga guru politik yang sebenar.
DR KHALID HAMKA
Penganalisa Politik
Alor Setar – HARAKAHDAILY 29/12/2025
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/1c4ykhWJkp/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











