
JERANTUT: Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin menzahirkan kebimbangan serius terhadap keadaan jalan persekutuan FT158 dari Felda Padang Piol ke Sungai Retang yang sering dinaiki air setiap kali hujan berterusan, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk setempat.
Menurutnya, isu berkenaan bukan perkara baharu kerana telah beberapa kali dibangkitkan sebelum ini dan dimaklumkan berada dalam proses kerajaan, termasuk telah diangkat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, dengan jawapan Exco negeri bahawa projek tersebut berada dalam prosedur rolling plan.
“Saya akan bangkitkan semula isu ini dalam Kamar Khas Parlimen yang dijadualkan pada 19 Januari 2026. Kita akan terus berkomunikasi dengan kementerian berkaitan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan projek ini dapat dipercepatkan,” katanya menerusi hantaran di laman sosialnya, semalam.
Beliau yang meninjau keadaan di lalaun itu berkata, keadaan jalan ketika itu amat membimbangkan apabila hanya kenderaan pacuan empat roda dan perahu sahaja yang boleh melalui laluan berkenaan, manakala kenderaan ringan tidak dibenarkan atas faktor keselamatan. (Foto atas)
Tambahnya, masalah tersebut telah berlarutan hampir 40 tahun dan sukar difahami mengapa projek berkenaan masih belum dapat dipercepatkan walaupun telah dibangkitkan oleh beberapa ahli parlimen sebelum ini.
“Perkara ini telah dibawa ke Parlimen sebelum ini, namun kali ini kita mahu penekanan diberikan untuk mempercepatkan pelaksanaannya kerana ia merupakan laluan utama ke Ulu Tembeling dan Taman Negara,” ujarnya.
Jelas beliau, FT158 bukan sahaja laluan strategik pelancongan, malah menjadi jalan utama penduduk beberapa kampung tradisional termasuk Kampung Paya Garok, Kampung Gajah Mati, Kampung Sungai Putat, serta kawasan Padang Piol dan Sungai Retang yang terjejas setiap kali hujan berpanjangan.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar air banjir segera surut, khususnya menjelang musim cuti sekolah, supaya tidak terus mengganggu urusan harian dan pergerakan masyarakat setempat.
“Kita harap kementerian dan JKR dapat mengambil perhatian serius dan bertindak segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/12/2025











