
KUALA LUMPUR: Banjir melanda Kelantan setiap hujung tahun menyebabkan jalan dan jambatan mengalami kerosakan teruk dan kejadian itu turut menjejaskan hubungan darat serta menyukarkan aktiviti rakyat.
Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kemusnahan itu berpunca daripada pelbagai faktor alam sekitar bahkan memerlukan peruntukan kewangan yang besar untuk melaksanakan kerja baik pulih.
Beliau berkata, selain kejadian tanah runtuh di Kilometer 45 Jalan Gua Musang-Lojing menjejaskan lebih 1,000 Orang Asli, kerajaan perlu melihat insiden jambatan kayu runtuh merentasi Sungai Peralong.
“Kita harap pada tahun 2026 pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat meneruskan projek naik taraf prasarana dengan lebih agresif di luar bandar, apakah status pelaksanaan projek ini.
“Ini termasuk gantian jambatan lama kepada struktur konkrit di bawah KKDW yang lebih tahan berhadapan bencana setiap akhir tahun,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Negara kelmarin.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang menjelaskan pihaknya sentiasa prihatin terhadap masalah infrastruktur awam yang sering mengalami kerosakan akibat banjir.
Beliau berkata, usaha tersebut dilaksanakan menerusi permohonan daripada kerajaan negeri mengikut senarai keutamaan yang dikemukakan kepada kementerian dalam setiap rancangan pembangunan negara.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan mengumumkan peningkatan peruntukkan dari segi bajet tahunan bagi melaksanakan projek di bawah KKDW termasuk pembinaan jalan dan jambatan yang rosak akibat banjir.
“Tahun depan (2026) insya-Allah peruntukkan meningkatkan lagi RM450.7 juta, pada tahun 2025 sebanyak 37 projek jalan dan 17 jambatan yang telah diluluskan dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.87 bilion.
“Daripada jumlah semua projek-projek ini, enam projek telah siap, 32 projek masih dalam pembinaan dan 16 lagi dalam peringkat pra pelaksanaan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan.
Terdahulu Mohamad Abduh mengemukakan soalan meminta KKDW menyatakan sama ada mekanisme pemantauan dan keberkesanan projek pembangunan luar bandar yang dilaksanakan mencapai objektif yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 19/12/2025











