
KANGAR: Kerajaan Negeri menjelaskan bahawa belanjawan kali ini disusun berasaskan semangat kepimpinan Islam yang menuntut pemimpin menjadi pelindung dan penjamin kebajikan rakyat.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, tema ‘Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera’ dipilih sebagai cerminan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap inisiatif memberi manfaat terus kepada rakyat.
Beliau membaca sabda Rasulullah SAW, ‘sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain’.
Menurut beliau, prinsip inilah yang menjadi roh penyediaan Belanjawan 2026 agar Negeri Perlis terus makmur, sejahtera dan diberkati, dengan fokus memudahkan urusan rakyat serta memperkukuh pembangunan negeri.
”Kerajaan Negeri memperuntukkan RM359.58 juta bagi tahun 2026, meningkat RM57.20 juta berbanding tahun 2025 sekali gus menjadikan ia belanjawan terbesar yang pernah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Perlis,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Kompleks Sri Putra, di sini hari ini.
Daripada jumlah itu jelasnya, RM244.42 juta (68 peratus) diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM115.16 juta (32 peratus) bagi Perbelanjaan Pembangunan.
Jelas beliau, bagi tahun 2026 Kerajaan Negeri mengunjurkan kutipan hasil sebanyak RM217.59 juta, merangkumi tiga komponen utama merangkumi Hasil Cukai berjumlah RM44.13 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM50.92 juta dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM122.54 juta.
Jumlah keseluruhan ini menurut Mohd Shukri, menjadi asas kepada unjuran kemampuan fiskal negeri bagi tahun berkenaan.
“Berdasarkan anggaran ini, kutipan hasil negeri dijangka meningkat RM94.66 juta atau 77 peratus berbanding tahun 2025,” katanya.
Namun demikian, Perlis masih dijangka berdepan defisit RM26.83 juta, walau begitu, Mohd Shukri menjelaskan bahawa angka tersebut merupakan defisit terendah dalam tempoh lima tahun menunjukkan pengurusan fiskal negeri berada pada landasan lebih kukuh.
Menyedari keperluan menambah sumber kewangan negeri, Menteri Besar menegaskan bahawa semua agensi pengutip cukai wajib meningkatkan kecekapan dengan mengatur tugasan secara tersusun, merangka gerak kerja lebih efektif, mengurangkan tunggakan dan memperkasa sistem pemungutan hasil.
Langkah ini katanya, amat penting bagi memastikan sasaran kutipan dapat dicapai, sekali gus mengurangkan beban defisit pada tahun-tahun mendatang.
Belanjawan 2026 yang dibacakan hari ini membawa mesej jelas bahawa Kerajaan Negeri Perlis bertekad membangunkan negeri secara berdisiplin, berwibawa dan berasaskan prinsip Islam yang mementingkan kesejahteraan rakyat seluruhnya. – HARAKAHDAILY 9/12/2025











