Tempat pelajar miskin dirampas dasar Saluran Terbuka

- Advertisement -

SATU demi satu ruang untuk anak-anak B40 dan pelajar miskin yang layak secara merit ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kini dirampas dengan halus menerusi pelaksanaan Saluran Terbuka satu dasar yang disifatkan sebagai pintu belakang oleh pelbagai pihak.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi Negeri Kedah, Prof Dr Haim Hilman Abdullah menzahirkan rasa kesal terhadap ketempangan dasar ini.

Menurut beliau, ia telah membuka jalan untuk memperdagangkan tempat ke IPTA kepada golongan berkemampuan, sambil menindas hak pelajar yang cemerlang tetapi miskin.

“Ke mana hilangnya budi bicara dan simpati mereka yang berkuasa terhadap pelajar miskin?” soalnya.

Menurutnya, isu ini bukan sahaja dibangkitkan di luar Parlimen, malah turut mendapat perhatian dalam Dewan Rakyat apabila beberapa wakil rakyat, termasuk dari kalangan blok kerajaan, berani menegur pelaksanaan dasar tersebut.

Dr Haim memuji keberanian Presiden MCA, Dato’ Seri Wee Ka Siong yang menyentuh isu ini secara terbuka biarpun berada dalam Kerajaan Madani.

“Walaupun beliau dalam blok kerajaan dan komponen utama Barisan Nasional, beliau berani memperjuangkan isu ini. Beliau bukan sahaja ahli politik tetapi pemimpin yang matang. Beliau memperjuangkan hak rakyat Malaysia, khususnya pelajar miskin,” katanya.

Tegasnya, rakyat Malaysia harus bersatu menentang dasar ini yang dilihat membuka ruang kepada ketidakadilan sosial dalam sistem pendidikan tinggi negara.

“Kita rakyat Malaysia wajar bersuara bersama demi memastikan tempat anak-anak miskin di IPTA tidak dijual kepada mereka yang mampu membelinya,” tegas beliau.

Dr Haim turut mempersoalkan sikap membisu pihak Kementerian Pengajian Tinggi serta para naib canselor IPTA terhadap isu ini, yang menurutnya semakin kritikal dari tahun ke tahun.

“Apakah yang sedang berlaku sehingga menteri yang berasal dari parti yang kononnya membela orang Melayu dan B40 ini diam membisu? Lebih mengecewakan, naib-naib canselor yang semuanya berbangsa Melayu juga tidak bersuara.

“Adakah mereka benar-benar tidak nampak atau sekadar pura-pura tidak nampak?” soalnya lagi.

Beliau berkongsi bahawa dirinya pernah menyentuh isu ini dalam satu ceramah hujung tahun lalu, namun disambut dengan penafian keras oleh pihak kementerian dan IPTA yang lebih marah terhadap istilah pintu belakang berbanding membincangkan isu sebenar.

“Penafian mereka tidak menyentuh pun kesan buruk Saluran Terbuka terhadap pelajar miskin. Mereka marah dengan perumpamaan, tetapi isu besar yang saya bangkitkan dibiarkan sepi,” jelasnya.

Menurut statistik yang dikongsikan Dr Haim, Saluran Terbuka kini memperuntukkan sehingga 10 peratus tempat dalam satu-satu program di IPTA.

“Dengan pengambilan tahunan sekitar 150,000 pelajar, ini bermakna antara 10,500 hingga 15,000 tempat setahun telah diperuntukkan untuk Saluran Terbuka.

“Dalam tempoh 10 tahun, ini bermakna antara 105,000 hingga 150,000 tempat pelajar miskin yang layak secara merit telah dirompak dan dijual kepada mereka yang mampu membayar yuran penuh,” katanya.

Beliau menyelar alasan kementerian bahawa tempat bagi pelajar layak secara merit tidak terjejas kerana jumlah permohonan ke IPTA jauh lebih tinggi daripada kapasiti tawaran.

“Permohonan yang layak secara merit sekitar 223,000 setiap tahun, sedangkan hanya 150,000 tempat ditawarkan. Sebanyak 33 peratus atau 73,000 orang tidak dapat tempat.

“Jadi bagaimana mungkin mereka boleh mendakwa bahawa pelajar layak tidak terkesan?” tanya beliau.

Dr Haim menyifatkan alasan kononnya Saluran Terbuka tidak menjejaskan tempat pelajar merit sebagai hujah dangkal.

“Mereka jelas mengutamakan kaedah jana pendapatan paling mudah jual tempat universiti. Ini amat malang bagi masa depan negara,” ujarnya.

Beliau turut mengkritik penggunaan subsidi rakyat yang sepatutnya dinikmati pelajar miskin, tetapi kini secara tidak langsung diagih kepada mereka yang mampu membayar yuran penuh.

“Saluran Terbuka menzalimi anak-anak B40 dan M40 yang sepatutnya mendapat tempat di IPTA dengan subsidi 90 peratus. Subsidi ini bukan duit kerajaan, tetapi duit pembayar cukai,” tegasnya.

Tambahnya lagi, dasar tersebut telah menukar institusi awam kepada ‘pasar terbuka’ di mana tempat duduk di universiti boleh dibeli sesiapa sahaja yang mampu, walaupun tidak layak secara merit.

Tegas Dr Haim, IPTA sepatutnya lebih kreatif mencari sumber kewangan tanpa menjual tempat kepada mereka yang tidak layak.

“Banyak cara lain untuk menjana pendapatan, termasuk melalui penyelidikan, penerbitan, kursus profesional dan kerjasama industri. Tetapi menjual tempat kepada pelajar kaya yang tidak layak bukanlah salah satu daripada cara tersebut,” tegas beliau.

Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk segera menghentikan pelaksanaan Saluran Terbuka sebelum kerosakan sistem pendidikan tinggi negara menjadi lebih parah.

“Kerajaan disaran menghentikan segera penawaran tempat ke IPTA melalui Saluran Terbuka ini,” ujarnya.

Dengan dasar ini, katanya, bukan sahaja nasib anak-anak miskin terus dinafikan, bahkan masa depan negara turut digadaikan demi hasil jangka pendek yang tidak berbaloi. – HARAKADAILY 11/8/2025

- Advertisement -