Perbicaraan kes Yusof Rawther tidak diteruskan 16 Jun

Muhammad Rafique Rashid Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan penangguhan perbicaraan yang dijadualkan pada 16 Jun ini berkaitan kes Yusof Rawther, sementara menunggu pelupusan rayuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

- Advertisement -

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, permohonan berkenaan melibatkan permohonan Perdana Menteri ke-10, Anwar untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan terhadap penolakan lapan soalan undang-undang oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, minggu lalu.

“Antara lainnya untuk kekebalan, dan untuk mempertanyakan sama ada seorang Perdana Menteri perlu melalui beberapa fasa atau protokol yang ketat sebelum boleh diteruskan kes terhadap Perdana Menteri tersebut,” ujarnya dalam satu rakaman di pejabat beliau, hari ini.

Katanya, Mahkamah Tinggi minggu lalu telah menolak permohonan Anwar dan beliau kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

“Hari ini kita telah hadir secara sidang video Zoom di hadapan Yang Arif tiga orang hakim Mahkamah Rayuan yang telah mendengar permohonan untuk satu penangguhan sementara supaya tidak diteruskan dengan kes pada 16 Jun.

“Dia nak dengar dulu rayuan sebelum boleh teruskan ataupun tidak itu kita kena tunggu rayuan. Rayuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap lapan soalan yang telah ditolak itu akan didengar pada 21 Julai 2025,” jelasnya.

Beliau berkata, peguam kepada Anwar berhujah supaya tidak diadakan perbicaraan terlebih dahulu kerana keputusan rayuan itu mungkin akan memberikan jawapan yang berbeza daripada keputusan Mahkamah Tinggi.

“Kita pula menyatakan bahawa lapan soalan itu adalah soalan-soalan yang akan gagal. Rayulah macam mana pun, dia akan gagal. Jadi kita minta supaya tidak diadakan penangguhan dan diteruskan juga 16 Jun.

“Setelah mendengar pihak-pihak, hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah bersetuju bahawa perlu diberikan penangguhan sementara sehingga 21 Julai,” terangnya.

Menurutnya, itu bermakna perbicaraan pada 16 Jun tidak akan berlangsung dan akan ada satu lagi permohonan penangguhan sama ada perlu tunggu pelupusan rayuan ataupun tidak.

Beliau berkata, pihaknya juga telah berhujah mengapa terlalu lama diambil masa untuk hadir ke mahkamah berkenaan lapan soalan tersebut sedangkan tarikh-tarikh perbicaraan bagi kes Yusof Rawther dan Anwar Ibrahim telah pun diketahui sejak 6 Jun 2024.

“Perbicaraan adalah pada minggu depan dan kita merasakan bahawa sebagai rakyat, Yusof Rawther ada hak untuk meneruskan kes dia. Walau apa pun dinyatakan, ianya bermotif politik dan sebagainya, tapi dia menyatakan dia nak hadir ke mahkamah untuk beri keterangan,” ulasnya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akur dan menghormati keputusan mahkamah dan fokus utama ketika ini bagi keluarga Yusof Rawther ialah keputusan akhir kes pendakwaan pada 12 Jun ini, melibatkan pertuduhan mengedar dadah serta memiliki senjata tiruan.

“Itu kita fokuskan dulu. Apa yang kita akan lakukan untuk permohonan ini, kita ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan. Antara lainnya mungkin kita nak merayu kalau kita tak puas hati.

“Tapi saya belum dapat hubungi Yusof Rawther. Saya belum lagi dapat bercakap dengan keluarga Yusof Rawther, kita tunggu dan lihat perkembangannya.

“Tapi ingat, di Malaysia ini, 12 Jun 2025 adalah tarikh yang amat penting untuk kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -